Header Ads

Mufti Perlis gelojoh keluar kenyataan, perlu selami politik negara

WarkahDaily – Bukan tidak menghormati status Dr Juanda Jaya sebagai seorang mufti, orang yang berada dalam kategori disegani masyarakat, namun penulis sedikit mahu memberi pandangan ringkas yang mungkin boleh diterima atau dibakul sampahkan oleh pembaca. Itu hak anda.

Dr Juanda terlalu gelojoh

Penulis WarkahDaily mahu menyatakan bahawa Dr Juanda Jaya begitu gelojoh dalam menelah atau menghukum situasi politik negara ini berdasarkan andaian peribadinya. Konon orang yang menolak penyatuan Umno-PAS sebagai pengkhianat Islam.

Selami dulu perihal politik negara ini sebelum membuat apa-apa andaian atau pendapat. Kita perlu tahu dulu siapa PAS dan siapa Umno.

Siapa PAS

Perlu disedari, PAS tidak dinafikan mempunyai barisan alim ulamak yang muktabar yang boleh diletak setaraf mufti, cuma bezanya tiada ’title’ jawatan mufti yang disematkan seperti pada Dr Juanda Jaya.

Mustahil bagi cerdik pandai, para cendekiawan dalam PAS yang memahami selok-belok agama begitu naif dalam membuat keputusan berpolitiknya.

Sebelum pergi lebih jauh dalam mengutarakan pendapat, kita perlu fahami konteks perjuangan PAS. PAS disandarkan kepada perjuangan memartabatkan Islam yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. PAS bukan sekadar parti politik kepartian, bahkan lebih dari itu sebagai badan dakwah yang mahu meletakkan syiar Islam di tampuk pemerintahan.

Dari dulu hingga sekarang, PAS tidak pernah mengundur dari dasar Islam. Tujuan utama PAS adalah mahu memartabatkan Islam di Malaysia.

PAS menyertai politik

Disebabkan negara kita ini diperintah oleh sebuah kerajaan yang tidak berlandaskan kepada Al-Quran Dan As-Sunnah, meletakkan Islam sekadar hiasan pada perlembagaan sahaja, bukan untuk diterap dalam kehidupan, maka PAS menyertai politik pilihanraya atas dasar mahu merubah itu semua.

Namun usaha murni itu ditentang oleh bangsa seagama sendiri yang menolak dasar Islam yang dibawa PAS sehingga ada pemimpin kerajaan (pemimpin Umno) menyatakan Islam tidak sesuai di zaman ini. Cuba bayangkan, para pemimpin Umno ada yang sanggup menyatakan politik tiada sangkut paut dengan agama, padahal Allah telah menjelaskan kepada Nabi Muhammad SAW bahawa Islam itu syumul, sempurna, sesuai sepanjang zaman dan mencakupi segenap kehidupan. Apakah politik itu bukan kehidupan?

Jika Umno terima Islam, PAS bubar

Pernah Mursyidul Am PAS, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz memberitahu, jika Umno sanggup meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasar perjuangan, maka tiada lagi PAS selepas itu (bubar PAS).

Kerana Umno terlalu sombong dengan perjuangan sekular dan dasar kebangsaannya, pelawaan Tok Guru Nik Aziz tidak diendahkannya. Padahal semua orang tahu sebab kenapa ditolak pelawaan itu. Semuanya kerana kuasa, kekayaan, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kezaliman yang sudah menjadi darah daging pemimpin Umno sejak dulu lagi. Mereka takut kehilangan itu semua, bukannya takut kepada Allah.

Siapa Umno

Umno sudah dikenali sebuah parti politik yang memperjuangkan kebangsaan dan bangsa. Mereka mengenepikan Islam sebagai ad-din yang syumul.

Maksud ”Islam itu tinggi, tiada yang tinggi lebih dari Islam” dinyahkan dari pemerintahan mereka. Bukan itu sahaja, mereka tidak segan silu cuba menyekat usaha PAS mahu memartabatkan hukum Islam di negeri yang diperintahnya. Bahkan sanggup mengugut untuk perintah darurat. Amatlah pelik, orang Islam menyekat usaha memartabatkan Islam.

Mereka hanya mahu nama sahaja Islam tetapi ajaran dalam Al-Quran dan As-Sunnah sekadar meniti dibibir sahaja dalam pertandingan musbaqah Al-Quran saban tahun. Namun penerapan nilai-nilai Islam jauh sekali untuk diamalkan dalam pemerintahan.

Tolak penyatuan PAS-Umno tidak semestinya tolak perpaduan Islam

Minyak dengan air, mana mungkin ianya dapat disatukan. Bagaimana ia mahu direalisasikan?

PAS dengan dasar Islam cuba disatukan dengan Umno yang menolak cara hidup Islam? Apa formulanya?

Apakah mahu dinasihat PAS agar meninggalkan dasar Islam seperi permintaan presiden MCA, Chua Soi Lek yang mahu PAS menggugurkan dasar perjuangan Islamnya? Penulis tolong menjawabnya, ianya adalah amat mustahil.

Atau, apakah Umno boleh mengalah agar menerima dasar Islam yang sememang disuruh oleh Rasulullah SAW supaya terapkan Islam dalam kehidupan kita. Ada berani Umno berbuat demikian?

Padahal MB Kelantan sudah mempelawanya sebelum ini namun tidak diendahkan pemimpin Umno. Padahal PAS sanggup dibubarkan jika Umno menerima Islam sebagai dasar perjuangan.

Tapi hingga kini tiada pemimpin Umno menyahutnya, kini sibuk mengajak PAS bersatu pulak.

Nak tanya Dr Juanda, nak mintak PAS dan Umno bersatu atas dasar apa? Islamkah, sekularkah, kebangsaankah atau sebagainya apa yang difikirkan baik pada mufti Perlis itu.

Penyatuan atas dasar Islam

Memang Islam menggalakkan umatnya kepada perpaduan sesama Islam. Bahkan Islam mewajibkan kepada umatnya agar bersatu. Tetapi kena ingat!...bersatu itu adalah atas dasar Islam.

Jadi, jangan sewenang-wenang menghukum orang yang menolak penyatuan PAS-Umno itu sebagai pengkhianat Islam.

Pengkhianat Islam jika penyatuan yang ingin dilakukan itu adalah atas dasar Islam dan bukannya atas dasar menyelamatkan kedudukan Umno yang mahu terus berkuasa dengan dasar sekularnya.

Selagi Umno tidak mahu menerima cara hidup Islam, selagi itulah penulis berani cakap PAS dan Umno ibarat minyak dengan air yang tak mungkin akan bersama.

Sepatutnya mufti Perlis itu perlu memberi nasihat kepada pemimpin Umno agar menerapkan ajaran Islam dan mengamalkan apa yang disuruh Allah dalam pemerintahannya sebelum mengajak kepada penyatuan PAS dan Umno.

Dr Juanda perlu mendalami dahulu arus politik negara ini dan kenal dulu siapa pemain-pemain politik di negara ini sebelum membuat kenyataan atau sebarang hukum yang boleh memberi kesan mendalam ke atas masyarakat Islam.

Sebagai seorang yang dihormati, Dr Juanda perlu berhemah dalam mengeluarkan kenyataan supaya masyarakat tidak keliru dengan hukum yang dijatuhkan yang tidak berpandukan kepada realiti politik tanah air.
Dikuasakan oleh Blogger.