Header Ads

Piala FA 2011: Kelantan dan Terengganu beraksi di final

WarkahDaily – Dua gergasi Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu bakal mewarnai kemeriahan aksi akhir perlawanan bola sepak Piala FA edisi 2011 pada 11 Jun 2011 nanti selepas menewaskan lawan masing-masing dalam aksi separuh akhir awal malam tadi.


Pemain Kelantan meraikan kemenangan besar mereka benam ego Selangor dengan jaringan 5-1 di separuh akhir pertama pada 12 Mei lepas di Stadium Shah Alam.
Kelantan berjaya memusnahkan ego Selangor selepas membenam ‘Red Giant’ itu dengan agregat besar 6-2. Walaupun aksi awal malam tadi, Kelantan sekadar seri dengan Selangor 1-1, namun bekalan jaringan besar dalam aksi pertama separuh akhir iaitu 5-1.

Aksi di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan dilihat lebih mendominasi perlawanan dengan asakan bertubi ke kubu Selangor di separuh masa pertama. Banyak peluang yang disia-siakan pemain Kelantan di depan pintu gol Selangor untuk menambah agregat yang lebih besar.

Kelantan terlebih dahulu menjaringkan gol di minit ke-9 menerusi Mohd Shakir Shaari dengan tendangan padu ke arah gawang Selangor. Gol berkenaan berpunca daripada benteng pertahanan Selangor yang dilihat tidak memberi kawalan terhadap Mohd Shakir dan memberi ruang untuknya melepaskan rembatan kencang terus ke gawang Selangor.

Aksi yang dihadiri ribuan penonton tuan rumah yang berpakaian merah itu terus digamatkan lagi dengan peluang keemasan pemain Kelantan untuk menambah jaringan namun ianya disia-siakan walaupun bola dianggap mudah untuk jaringan gol.

Kelantan terus mengasak apabila Muhammad Ramzul Zahini yang menjadi wira menjaringkan dua gol di separuh akhir pertama di Shah Alam terus kempunan penyudah berkesan apabila banyak peluang keemasan dibazirkan pemain itu.

Kegarangan Kelantan untuk menambah jaringan gol akhirnya tersentak dengan gol penyamaan Rudie Ramli hasil hantaran jarak dekat Amri Yahyah untuk menyepak masuk bola pada minit ke-78. Aksi di separuh masa kedua, kelihatan kedua-dua pasukan masing-masing berbalas serangan namun tidak membuahkan hasil.

Namun, jaringan Rudie itu tidak memberi sebarang erti kepada Selangor walaupun berjaya menyekat Kelantan dengan seri 1-1 kerana pasukan tuan rumah sudah pun menang selesa di Shah Alam dalam aksi pertama separuh akhir.

Kegembiraan peminat Kelantan yang mara ke akhir Piala FA turut mendapat sokongan gandingan pemimpin tertinggi negeri iaitu Tengku Mahkota Kelantan dan YAB Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat.

Kelantan akan bertemu Terengganu di perlawanan akhir selepas skuad Penyu itu turut mengecapi kemenangan bergaya membenam Pahang dengan agregat 5-2.


Pemain kedua-dua pasukan bersaing untuk dapatkan bola dalam aksi separuh akhir pertama pada 12 Mei lepas di Stadium Darul Makmur, Kuantan. Terengganu menang 3-2.
Terengganu yang berkelebihan agregat 3-2 dalam aksi separuh akhir pertama di Kuantan baru-baru ini, terus menjinakkan Pahang dengan kemenangan 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu awal malam tadi.

Gol jaringan Abdul Hadi Yahaya pada minit ke-36 dilihat terus memberi tekanan kepada Pahang yang mahukan jaringan awal di kandang lawan. Kedudukan 1-0 terus kekal di babak pertama.

Separuh masa kedua bermula, pasukan tuan rumah terus mengasak sehingga di minit ke-85, pemain gantian, Mohd Alimi Fahmi Kamaruddin terus menghukum pasukan anak didik Dollah Salleh dengan meletakkan skuad Irfan Bakti selesa di depan 2-0 sehinggalah wisel penamat dibunyikan pengadil.

Pertemuan akhir Piala FA edisi 2011 antara pasukan berjiran, Kelantan dan Terengganu bakal dilihat perlawanan paling sengit musim ini dalam aksi Piala FA.

Kedua-dua pasukan adalah ‘top 3’ Liga Super 2011 dan mungkin jaringan awal bagi kedua-dua pasukan dalam aksi akhir nanti bakal menjarakkan kehebatan masing-masing untuk dinobatkan juara Piala FA edisi kali ini.
Dikuasakan oleh Blogger.