Header Ads

Piala Sudirman: Malaysia gagal mara ke separuh akhir

Skuad badminton Malaysia gagal meneruskan kemaraan setelah tewas kepada Korea Selatan 2-3 dalam pertemuan suku akhir Piala Sudirman, hari ini.


Koo Kien Keat (gambar) yang digandingkan dengan Chin Eei Hui dalam acara beregu campuran gagal membuktikan kemampuannya selepas tewas kepada Ko Sung-hyun-Ha Jung-Eun 21-17, 21-17 pada peringkat suku akhir Piala Sudirman. | foto D5 Sports
Pada saingan tersebut, Malaysia terlebih dahulu ketinggalan 0-1 apabila beregu campuran Koo Kien Keat-Chin Eei Hui tumpas kepada pasangan Ko Sung-hyun-Ha Jung-Eun 21-17, 21-17.

Dalam perseorangan lelaki, Lee Chong Wei menepati ramalan ramai apabila berjaya menundukkan Park Sung-Hwan 21-18, 21-14, sementara pasangan beregu lelaki Tan Boon Heong-Hoon Thien How pula menewaskan Jung Jae-sung-Lee Yong-dae 21-15, 14-21, 21-14, sekaligus menghidupkan peluang Malaysia dengan mendahului Korea Selatan 2-1.

Namun, Korea Selatan kembali menyamakan kedudukan (2-2) apabila perseorangan wanita mereka Bae Youn-joo menundukkan pemain negara Tee Jing Yi 21-11, 21-11.

Harapan tinggi diletakkan kepada pasangan beregu wanita untuk menentukan nasib Malaysia. Namun pasangan tersebut, Chin Eei Hui dan Wong Pei Tty gagal apabila tewas kepada Jung-eun-Kim Min-jung 19-21, 21-16, 21-10 dalam tempoh 55 minit.

Kemenangan Korea Selatan itu sekaligus mengesahkan tempatnya ke separuh akhir. Mereka bakal berdepan China yang turut menewaskan India 3-1. -D5 Sports
Dikuasakan oleh Blogger.