Header Ads

Pilihanraya tempatan Palestin ditunda hingga Oktober

RAMALLAH: Kerajaan Palestin mengumumkan pilihan raya umum yang dijadualkan pada Julai depan ditunda kepada Oktober, sekali gus memberi waktu kepada kerajaan untuk mengendalikan undian di Genting Gaza, semalam.


Seorang lelaki Palestin membuang undi di sebuah pusat pembuangan undi di Tebing Barat pada tahun 2006. | foto AFP
Penangguhan itu dibuat berikutan perjanjian damai yang dipersetujui pada April lalu antara Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang memerintah Tebing Barat dan Hamas, kumpulan pejuang Palestin yang mengawal Gaza sejak 2007.

Jurucakap Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang berpusat di Ramallah, Ghassan Khatib berkata, penangguhan kepada 22 Oktober depan itu akan memberi masa mencukupi kepada kerajaan negara itu untuk merancang penganjuran pilihan raya di wilayah Genting Gaza.

“Penangguhan itu bermakna pilihan raya akan diadakan selepas September, semasa Abbas meminta Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf negara Palestin,” katanya.

Sebelum ini, Hamas memenangi pilihan raya terakhir yang diadakan pada 2006, menyebabkan berlaku perpecahan dalam gerakan nasional Palestin sehingga berlaku penubuhan kerajaan-kerajaan saingan di Gaza dan Ramallah.
Dikuasakan oleh Blogger.