Header Ads

Tak cukup duit bertunang, lelaki tipu diculik harap wang tebusan kekasih sendiri

PETALING JAYA: Hendak kahwin tetapi poket kosong seorang pemuda bertindak memperdaya bakal isterinya sendiri kononnya dia diculik dan perlu RM42,000 sebagai wang tebusan.

Tindakan pemuda berusia 26 tahun itu menyebabkan si gadis, 25, menjadi kelam-kabut dan terus membuat laporan polis.

Difahamkan, pemuda itu terdesak berbuat begitu kerana tidak cukup wang untuk belanja hantaran majlis pertunangan yang bakal berlangsung tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah (gambar) berkata, teman wanitanya bekerja di sebuah hospital pakar di Damansara melaporkan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari kekasihnya, kira-kira jam 6.30 petang, Ahad lalu.

Dalam SMS itu mengatakan teman lelakinya diculik, diikat tangan dan matanya ditutup.

“Kira-kira jam 9 malam, satu lagi SMS diterimanya dan penjenayah meminta wang tebusan RM42,000 dan sebuah kereta milik wanita itu.

“Berikutan itu, dia membuat laporan polis bagi menyelamatkan kekasihnya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tun Hisan berkata, susulan itu, polis menahan teman lelakinya di Kl Sentral, kira-kira 10.15 malam kelmarin yang dipercayai adalah mangsa dan suspek bagi drama penculikan terbabit.

“Ia merupakan perancangan mangsa sendiri. Wang tebusan diminta untuk digunakan sebagai persiapan majlis pertunangan,” katanya.

Katanya, setakat ini, polis mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

“Polis tidak memandang remeh kejadian itu kerana setiap perkara yang dilaporkan, kami akan berusaha menyelesaikannya,” katanya. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.