Header Ads

Tandukan emas Falcao bantu Porto rangkul kejuaraan Liga Eropah 2011

DUBLIN: Porto menang tipis ke atas Braga 1-0 menerusi tandukan hebat penyerang berasal dari Colombia, Falcao untuk merangkul kejuaraan Liga Eropah serta sekaligus menobatkan mereka wakil pertama dari Portugal menjuarai kesemua kejohanan peringkat Eropah.


Penyerang Porto, Falcao (tengah) bersama rakan sepasukan meraikan kejayaan mereka menjuarai trofi Liga Eropah selepas membenam Braga 1-0 pada 18 Mei 2011 di Stadium Aviva, Dublin. | foto AFP
Gol ke-17 Falcao dijaringkan sebelum berakhir babak separuh masa pertama yang bermula daripada hantaran lintang dari penjuru padang oleh Fredy Guarin yang kemudiaan disudahkan dengan satu tandukan terus menewaskan penjaga gol Braga Artur.

Braga yang sebelum ini berjaya membenam pasukan gergasi seperti Benfica dan Liverpool hampir menyamakan kedudukan kemudiaannya tetapi rembatan Mossoro sekadar tepat ke dakapan penjaga gol.

"Tanpa ragu-ragu lagi ia adalah satu pencapaian yang hebat. Kami sekarang mempunyai satu lagi trofi untuk dirangkul pada musim yang penuh bersejarah ini," ujar pengurus Porto Andre Villas Boas.

"Ia memberikan kesan besar buat kami semua dan ia menjadikan kami sebuah kelab yang unik dan istimewa. Kami akan bina masa depan dengan kejayaan ini."

Kejayaan ini bertambah manis lagi buat Porto apabila mereka mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang kejohanan serta mara ke final dengan menewaskan gergasi dari Sepanyol seperti Sevilla dan Villareal.

Di samping itu, penyerang prolifik Falcao juga merekodkan sejarah baru di dalam kejohanan peringkat Eropah apabila melepasi 15 jaringan gol yang dicatat lagenda Jerman iaitu Juergen Klinsmann.

Porto yang pernah meraih kejuaraan sama pada 2003 (Ketika itu dikenali sebagai Piala UEFA) juga berada di landasan terbaik untuk meraih empat lagi trofi pada musim ini. -D5 Sports
Dikuasakan oleh Blogger.