Header Ads

[Video] Liga Juara-juara: Barca layak ke final selepas singkir Madrid dengan agregat 3-1

Tonton sedutan video jaringan gol kedua-dua pasukan di bawah posting

MADRID: Barcelona melangkah ke final Liga Juara-juara Eropah kedua mereka dalam tempoh tiga tahun setelah keputusan seri 1-1 dengan Real Madrid dalam aksi separuh akhir kedua memastikan mereka menang dengan agregat 3-1.


Pemain Barcelona Pedro Rodriguez (kiri) meledakkan gol yang hanya sempat dilihat pemain Real Madrid Marcelo dalam aksi separuh akhir kedua Liga Juara-juara di stadium Nou Camp di Barcelona awal pagi tadi, 4 Mei 2011. | foto AP
Barcelona kini berkemungkinan besar akan bertemu Manchester United dalam perlawanan akhir, ulangan final 2009 yang dimenangi oleh Barcelona, setelah jaguh England itu memiliki kelebihan 2-0 ke atas Schalke.

Real Madrid melakukan kejutan apabila menamakan Gonzalo Higuain sebagai penyerang utama mereka, memaksa Karim Benzema dan Emmanuel Adebayor memanaskan bangku simpanan dan Kaka dipilih menggantikan Mesut Ozil.

Namun begitu Barcelona lebih banyak menguasai permainan dan dengan kelebihan dua gol daripada perlawanan minggu lepas, mereka berada dalam keadaan selesa untuk mengatasi asakan Real.

Real tersentak apabila gol Higuain pada awal babak kedua dibatalkan oleh pengadil kerana Cristiano Ronaldo dianggap telah mengasari Javier Mascherano dalam pembentukan gol tersebut.

Malang terus menimpa pasukan kendalian Jose Mourinho itu, yang terpaksa menyaksikan perlawanan di bilik hotel kerana faktor keselamatan, apabila Pedro Rodriguez menyempurnakan hantaran Andres Iniesta untuk menewaskan Iker Casillas.

Walaupun sedar akan nasib mereka, Real tidak berputus asa dan terus mencari gol saguhati dan bernasib baik apabila Marcelo memastikan Barcelona gagal memastikan gawang mereka tidak bocor dengan menyempurnakan hantaran Angel Di Maria.

Kedudukan 1-1 kekal hingga wisel penamat, menyaksikan Barcelona di landasan tepat untuk mencatat kejuaraan berganda manakala Real hanya mampu berpuas hati dengan kejayaan Piala Raja Sepanyol. -AFP



Dikuasakan oleh Blogger.