Header Ads

Ahmad Said kesal siasatan Stadium Gong Badak masih lagi tertangguh

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, semalam secara terbuka melahirkan kekesalan kerana kajian struktur Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin berharga RM292 juta di Kompleks Sukan Gong Badak, yang sebahagian bumbungnya runtuh lebih dua tahun lalu masih belum siap.


Kerja-kerja pembersihan runtuhan stadium dilaporkan sudah selesai
Beliau berkata, sepatutnya Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengemukakan keputusan laporan kajian mengenai struktur stadium itu yang dibuat syarikat perunding awal bulan ini, tetapi sehingga kini belum siap.

Katanya, lebih mengecewakan perkembangan terbaru yang dimaklumkan oleh JKR negeri bahawa laporan kajian perunding itu dijangka siap pada September pula.

"Saya sebenarnya rasa dukacita dan kecewa sebab dulu JKR beritahu kita bahawa menjelang Jun (bulan ini) kajian perunding akan siap.

"Tetapi, bila mesyuarat rasmi, saya dimaklumkan oleh JKR sendiri jadi September pula," katanya kepada pemberita selepas melawat Stadium Negeri dan Terengganu Ekuestrian Resort (TER) di sini yang akan digunakan untuk program sukan tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional SeMalaysia (SERIKANDI) selama lima hari mulai 5 Julai ini.

Pada Februari lalu, Setiausaha kerajaan negeri (SUK), Datuk Mazlan Ngah berkata, kerajaan negeri melantik sebuah firma perunding dari Kuala Lumpur bagi menjalankan kajian khusus berkaitan struktur bangunan stadium itu sejak awal tahun ini.

Katanya, firma itu dipilih berdasarkan cadangan dikemukakan Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur daripada senarai nama enam syarikat perunding yang dikemukakan kepada kerajaan negeri akhir tahun lalu.

Beliau berkata, jika kajian mendapati bahagian struktur bangunan stadium itu tidak selamat, kerajaan negeri akan meneliti alternatif sama ada membina baru dengan mengekalkan identiti asal atau menggunakan reka bentuk lain yang difikirkan munasabah.

Ditanya apakah alasan JKR sehingga laporan kajian struktur stadium itu dijangka siap September ini, Ahmad sekadar berkata, beliau amat kecewa.

"Saya tak tahulah apa alasan dia, you (wartawan) tanya dia (JKR) sendirilah, saya kecewa,” katanya. -BHarian
Dikuasakan oleh Blogger.