Header Ads

BERSIH 2.0: Jika berlaku insiden tidak diingini, pasti ianya dari Umno dan baruanya – Presiden PAS

WarkahDaily – Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah memberi ingatan kepada para peserta perhimpunan BERSIH 2.0 agar tidak menimbulkan kekacauan yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan kerosakan harta benda pada 9 Julai nanti.


Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi.
Beliau turut berpesan kepada ahli PAS yang menyertai perhimpunan itu agar tidak bermusuhan dengan pihak polis.

“Setiap ahli PAS yang menyertainya jangan sekali-kali membawa senjata. Saya juga suka mengingatkan ahli-ahli PAS agar jangan bermusuhan dengan pihak polis,” katanya seperti yang dilaporkan Harakahdaily hari ini.

Tegas Presiden PAS, jika sekiranya berlaku juga kejadian yang tidak diingini, ia bukan lagi dari peserta Himpunan BERSIH 2.0 bahkan ada pihak tertentu yang cuba melakukan provokasi.

Itu semua tidak lain tidak bukan adalah usaha bagi menggambarkan kononnya peserta BERSIH 2.0 ‘ganas’ oleh pihak tertentu dan memudaratkan keselamatan negara.

PERKASA seolah-olah sudah tahu akan berlaku insiden tidak diingini

Bagi penulis WarkahDaily, kita jangan lupa dengan provokasi awal kumpulan sorak Umno iaitu PERKASA.


Penyokong Perkasa membakar poster dengan gambar ketua Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan sewaktu pelancaran Gerak Aman menentang Bersih 2.0 di Padang Kelab Sultan Sulaiman 19, Jun 2011. | foto The Malaysian Insider
Ahad lalu, kumpulan sorak Umno itu yang diketuai oleh presidennya, Datuk Ibrahim Ali pada majlis pelancaran perhimpunan anti-Bersih telah melancarkan ‘perang’ terhadap Himpunan BERSIH 2.0 dengan membakar dan memijak gambar Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan pada satu perhimpunan dan memanggilnya sebagai ‘wanita Hindu yang merbahaya’ sambil mengugut kaum Cina agar jangan keluar pada 9 Julai ini atas alasan ‘apa sahaja boleh berlaku’.

Ia menggambarkan seolah-olah beliau tahu akan berlaku sesuatu yang tidak diingini yang mungkin dirancang pihaknya bagi memporak-perandakan perhimpunan aman berkenaan kerana awal-awal lagi beliau menyatakan tidak akan bertanggungjawab atas sebarang insiden tidak diingini walaupun pihak BERSIH 2.0 berikrar ia adalah perhimpunan aman.

Jadi jelas sekali, ada cubaan dari pihak PERKASA untuk merosakkan perhimpunan BERSIH 2.0 apabila mereka turut berikrar akan mengadakan perhimpunan pada hari yang sama dengan niat dapat menghalang BERSIH 2.0 berlaku dengan aman.
Dikuasakan oleh Blogger.