Header Ads

BERSIH 2.0: Pakatan, Pemuda Umno dan Perkasa sertai perhimpunan, siapa polis tangkap dulu?

WarkahDaily – Sebelum ini, perhimpunan BERSIH pertama telah diperakui umum amat berjaya dan disertai ramai rakyat Malaysia yang cukup prihatin dengan tuntutan pilihanraya bebas dan telus.

Kini ia memberi mimpi ngeri dan amat menakutkan buat para pemimpin Umno-BN sehingga mereka terpaksa berselindung di belakang pihak berkuasa termasuk polis untuk menghalang perhimpunan itu daripada berulang lagi.

Ini jelas menunjukkan pemimpin Umno-BN begitu takut dengan kebangkitan rakyat sehingga terpaksa berulang kali memberi amaran kepada penganjur perhimpunan BERSIH 2.0 yang bakal berlangsung pada 9 Julai ini agar tidak berhimpun dan mendesak polis tidak memberi permit untuk perhimpunan itu.

Kini kebimbangan itu semakin jelas sehingga Umno terpaksa menggunakan tenaga pasukan sorak mereka iaitu Perkasa untuk menghalang perhimpunan itu berlaku. Tidak terkecuali, semalam Ketua Pemuda Umno Khairi Jamaluddin memberitahu pemuda Umno akan menyertai perhimpunan 9 Julai nanti namun bukan bersama BERSIH 2.0.

Kedua-dua barua Umno itu telah memperlihatkan cubaan mereka untuk menghalang perhimpunan BERSIH 2.0 daripada berlaku. Perkasa memperlihatkan mereka seolah-olah ‘samseng ganas’ yang cuba menghalang perhimpunan itu diadakan.

Tidak pelik jika ada kejadian yang tidak diingini berlaku pada perhimpunan 9 Julai nanti dan mungkin berlaku kerosakan harta benda awam, provokasi melampau sehingga urusan harian peniaga-peniaga terpaksa tutup hasil tindakan dua kumpulan barua Umno-BN ini.

Semuanya tercatat dalam sejarah sebelum ini. Banyak berlaku di setiap perhimpunan yang melibatkan Pakatan Rakyat turut disertai orang yang tidak dikenali dan cuba membuat provokasi dan ada yang bertindak ganas. Seolah-olah cuba memberi gambaran ianya dilakukan oleh pengikut Pakatan Rakyat.

Pada ketika itu, sudah pasti pihak polis yang sudah diketahui sudah menjadi tali barut kerajaan BN, akan bertindak menangkap aktivis dan pengikut Pakatan Rakyat.

Yang menjadi tanda tanya, pihak polis berkata mereka tidak sesekali akan mengeluar permit kepada mana-mana pihak untuk berhimpun pada hari itu.

Jadi, mari kita tunggu, jika perhimpunan itu berlaku, Perkasa dan pemuda Umno yang mengisytiharkan mereka akan turut berhimpun pada 9 Julai itu (tak dapat permit) juga turut dihalang polis dan adakah kedua-dua pemimpin barua Umno itu turut ditangkap jika polis membuat tangkapan kerana kedua-dua pemimpin itu turut merancang membuat perhimpunan pada hari berkenaan.

Buat pengajur BERSIH 2.0, penulis WarkahDaily mahu mencadangkan agar cuba melakukan sesuatu yang boleh para penyokong Pakatan Rakyat membezakan mana satu pengikut Pakatan Rakyat dan mana satu yang berlakon sebagai pengikut Pakatan Rakyat yang bakal melakukan provokasi, keganasan dan kerosakan harta benda awam pada hari berkenaan.

Pengajur boleh melakukan sesuatu ‘isyarat rahsia’ yang hanya diketahui pengikut yang benar-benar mengikuti perhimpunan itu demi menuntut ketelusan SPR dalam melaksanakan pilihanraya. Bila berlaku sesuatu yang tidak diingini, penyokong Pakatan Rakyat terus dapat mengecam ‘jembalang’ yang cuba berlakon sebagai pengikut Pakatan Rakyat. Itu sekadar cadangan 10 sen penulis bagi mengelak barua-barua Umno-BN mengambil kesempatan terhadap perhimpunan itu.
Dikuasakan oleh Blogger.