Header Ads

BERSIH 2.0: Pandangan bos Yadim bertentangan dengan Dr Yusof Al-Qardhawi

Keazaman Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk mengadakan perhimpunan aman bagi mendesak kerajaan melakukan baikpulih keatas sistem pilihanraya di Malaysia benar-benar menyesakkan Umno.


Datuk Aziz Jamaludin Mohd Tahir, YDP Yadim yang juga bekas calon BN.
Mulanya mereka mendakwa beberapa peniaga yang mendakwa mengalami kerugian ketika perhimpunan itu pertama kali diadakan pada 2007 kemudian mereka mengugut untuk guna Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Setelah semuanya gagal menggoyangkan tekad penganjur, maka kini mereka mula menggunakan agama sebagai bahantara untuk mengelirukan masyarakat.

Ini jelas dengan tersiarnya tulisan dari Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Aziz Jamaludin Mohd Tahir mendakwa Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini bertentangan dengan nilai dan etika Islam.

Kenyataan beliau didalam Utusan semalam menyatakan bahawa perhimpunan Bersih ialah satu cubaan mengheret rakyat ke dalam kancah politik serta ianya juga medan bagi sesetengah pemimpin pembangkang untuk menguji pengaruh.

Bekas calon BN bagi parlimen Titiwangsa tahun 2008 itu juga melabelkan penganjur sebagai golongan yang tidak mempunyai jiwa perjuangan yang besar dan hanya berminat untuk mengadakan rusuhan dan menipu rakyat demi kepentingan politik.

Menurut beliau lagi, dalam Islam perjuangan yang bersifat anarkisme tidak sesuai dengan tuntutan agama malah diharamkan kerana boleh memudaratkan termasuk dari aspek fizikal dan psikologi.

Menangkis dakwaan yang dianggap dangkal itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu (DPPT) Ustaz Mohd Nor Hamzah menjelaskan Islam membenarkan ummatnya menunjukkan rasa tidak puashati terhadap sesuatu perkara yang tidak betul.

“Ini (pendapat YDP Yadim) kata-kata dari orang yang jahil tentang demokrasi. Demokrasi memberikan hak kepada rakyat untuk bersuara.

Kita bukan hendak merusuh, kita hanya ingin menghantar memorandum secara aman dan mengajak semua orang yang bersetuju dengan kita bahawa sistem pilihanraya di Malaysia perlu dibaik pulih untuk hadir bersama,” tegas beliau.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Bukit Payong itu berkata bahawa Sheikh Yusuf al-Qaradhawi bersama ulama-ulama dunia lain juga turut bersetuju dengan perhimpunan seperti yang berlaku di Mesir dan Tunisia.

Katanya lagi, sejarah Islam juga merakamkan yang Saidina Umar bersama Saidina Hamzah pernah menunjuk perasaan kepada kafir Quraisy selepas mereka memeluk Islam bagi menyatakan ketidakpuasan hati mereka.

“Saya menganggap pendapat ini hanya fitnah untuk cuba mengelirukan rakyat dan menyerlahkan Yadim sebagai salah satu kuda tunggangan Umno BN,” tambah beliau.

Ustaz Mohd Nor turut menyeru kepada semua ahli-ahli PAS agar turut serta dalam perhimpunan pada 9hb Julai ini bagi menunjukkan kepada Umno bahawa rakyat tidak berpuashati dengan sistem pilihanraya yang ada. -Buletin Online
Dikuasakan oleh Blogger.