Header Ads

BERSIH 2.0: The Star sahkan provokasi Perkasa tak laku, Pemuda Umno ditolak

WarkahDaily – Kelmarin kita dilaporkan media berkaitan perhimpunan BERSIH 2.0 yang terus mendapat sokongan padu rakyat Malaysia walaupun pelbagai pihak cuba memburuk dan membuat provokasi tidak bertanggungjawab terhadap pihak yang cuba mengatur perhimpunan itu diadakan pada 9 Julai ini.

Antara yang lantang dan ganas membuat ‘serangan’ terhadap pengajur BERSIH 2.0 sehingga dilaporkan mereka ini cuba membuat ugutan perkauman dan membakar gambar pengerusi BERSIH 2.0, Ambiga Sreenivasan ialah NGO racis yang juga pasukan sorak Umno iaitu Perkasa yang diketuai Ibrahim Ali.

Walaupun pelbagai tohmahan dan cubaan menggagalkan perhimpunan itu daripada berlaku, BERSIH 2.0 memperlihatkan kejayaan pusingan pertamanya apabila dilaporkan media, 99% daripada lebih sejuta responden menyokong perhimpunan BERSIH pada 9 Julai ini dalam bancian yang dijalankan oleh portal The Star Online.

Dipetik dari Malaysiakini, seorang pengguna Facebook prihatin telah merakam bancian portal The Star yang menunjukkan jumlah responden mencecah 1.3 juta pada jam 12.25 tengah hari berbanding 527,330 yang dicatatkan pada jam 6.11 pagi kelmarin.

Menerusi bancian portal berkenaan, soalan yang dikemukakan “Apa pandangan anda berhubung perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai?”, hasilnya, 1,312,917 responden telah menjawab 'ia sepatutnya dibenar dan diteruskan' sebelum bancian itu ditutup kira-kira tengahari itu.

Manakala pilihan satu lagi - 'Ia harus dibatalkan' - hanya dipilih oleh 14,222 responden sahaja.

Sudah tentu keputusan itu memberi kredit kepada penganjur BERSIH 2.0 dan memberi tamparan hebat kepada pihak yang cuba menggagalkan perhimpunan rakyat menuntut ketelusan dalam pilihanraya itu daripada berlaku.

Boleh dikatakan, jelas sekali Perkasa yang begitu lantang menentang secara ‘ganas’ perhimpunan BERSIH 2.0 itu rupa-rupanya tidaklah sepopular yang disangkakan.

'Sorakan' dan ugutan mereka sebelum ini tidak dipedulikan rakyat Malaysia dan tidak pula diendahkan. Seolah-olah pengaruh Perkasa tidak wujud dalam minda rakyat Malaysia walaupun didakwa NGO pro Umno itu mempunyai pengaruh yang besar kerana senantiasa mengugut sesiapa yang tidak sebulu dengan kerja perkauman mereka.

Hasil keputusan bancian The Star itu turut menggambarkan penentang perhimpunan BERSIH 2.0 yang terdiri daripada Umno (pemuda Umno) dan Perkasa sebuah NGO pro Umno tidak laku dan tidak mendapat tempat di hati rakyat.

Semua sudah maklum, Perkasa yang diketuai Ibrahim Ali merupakan sebuah NGO perkauman yang cuba memporak-perandakan perpaduan di negara ini selepas mereka melihat kuasa Umno semakin terhakis.

Bagi penulis WarkahDaily, tidak mustahil perhimpunan BERSIH 2.0 yang mendapat publisiti percuma dari media arus perdana ini akan mencipta sejarahnya tersendiri yang bakal memberi satu mimpi ngeri yang tidak dapat dilupakan oleh pemimpin Umno yang selalu membuli hak dan keadilan untuk rakyat dalam setiap pilihanraya.
Dikuasakan oleh Blogger.