Header Ads

Celcom Axiata beri Nokia Siemens Networks kontrak perluas rangkaian

Celcom Axiata Berhad (Celcom) memberi kontrak kepada Nokia Siemens Networks bagi meningkatkan lagi rangkaiannya sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan rangkaian berterusan di Lembah Klang.


Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Datuk Seri Shazalli Ramly.
Menerusi kontrak itu, Nokia Siemens Network menyediakan HSPA sehingga 42Mbps bagi memenuhi keperluan penggunaan telefon pintar yang semakin tinggi di Malaysia kini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, peningkatan ini memberi faedah kepada pengguna Celcom di mana kelajuan muat turun menjadi lebih laju selain liputan lebih baik di kawasan metropolitan.

Menurutnya, Lembah Klang adalah salah satu pasaran penting untuk Celcom kerana mempunyai jumlah pengguna jalur lebar mudah alih dan telefon pintar tertinggi di Malaysia.

“Keutamaan kami adalah memastikan pengguna Celcom mendapat pengalaman terbaik sama ada untuk suara, video, muzik, e-mel, pelayaran Internet mahupun perkhidmatan multi media.

“Sejajar dengan misi Celcom untuk meningkatkan 30 peratus jumlah pengguna telefon pintar daripada jumlah pengguna secara keseluruhan menjelang hujung tahun ini, kami berbesar hati memberi penghargaan peningkatan infrastruktur rangkaian ini kepada Nokia Siemens Network,” katanya.

Sementara itu, Ketua Nokia Siemens Network Malaysia, Mikko Pokkinen berkata, pihaknya yakin teknologi dan perkhidmatannya terkini akan memberi banyak faedah selain memperbaiki kualiti dan rangkaian liputan.

“Ia turut mengurangkan perbelanjaan operasi dan yang paling penting dapat meningkatkan pengalaman mudah alih khusus untuk pengguna Celcom.

“Industri kami sebagai peneraju rangkaian telefon pintar yang mesra pengguna setakat ini menunjukkan kejayaan, kerana turut disokong oleh keupayaan perkhidmatan tempatan yang kukuh,” katanya. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.