Header Ads

Fitnah: Utusan Malaysia mengaku bersalah, mohon maaf secara terbuka

WarkahDaily – Kes saman fitnah Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz terhadap akhbar rasmi Umno, Utusan Malaysia yang telah menyiarkan artikel berbentuk fitnah pada 12 Jun 2009 kini ditarik balik oleh MB Kelantan berdasarkan tawaran penyelesaian di luar mahkamah oleh pihak defendan, lapor akhbar rasmi Umno kelmarin.

Setiausaha akhbar MB Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari menambah, Utusan Malaysia pada hari ini (14 Jun 2011) iaitu YAB Tuan Guru telah menarik balik saman RM20j adalah benar namun laporan itu perlu disebut bahawa ia dilakukan berdasarkan tawaran penyelesaian di luar mahkamah oleh pihak defendan berdasarkan sejumlah bayaran yang tertentu.

Penjelasan itu dibuat berdasarkan kepada laporan akhbar Utusan Malaysia di halaman 20 di bawah tajuk 'Kes Nik Aziz Saman Utusan RM20j Selesai Luar Mahkamah' dan turut disiarkan Sinar Harian di halaman N4 pada hari yang sama.

Menurut Ahmad Fadhli Shaari, YAB Tuan Guru memfailkan saman RM20 juta terhadap Utusan Malaysia selepas akhbar rasmi Umno itu bertindak menyiarkan satu artikel berbentuk fitnah dengan petikannya di muka hadapan di bawah tajuk “Nasihat Saya Mesti Didengar” dengan beberapa isi kandungan yang memfitnah YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan.

Dipetik dari Harakahdaily, kandungan artikel berbaur fitnah itu berbunyi “Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa nasihatnya itu mesti didengar kerana mempunyai hujah jelas untuk menangkis cadangan yang dianggapnya sebelum ini sebagai ‘ilham’ UMNO”.

Tuan Guru Menteri Besar Kelantan telah menafikan kenyataan yang disiarkan akhbar pro Umno itu dan berita penafian itu telah disiarkan akhbar berkenaan.

Namun artikel fitnah Utusan Malaysia berkenaan telah mengundang kecaman terhadap Tuan Guru Menteri Besar Kelantan, antaranya ialah seperti yang tersiar di dalam akhbar yang sama di muka surat 12 bertarikh 16 Jun 2009. Artikel yang ditulis oleh Ramli Abdul Halim itu mengecam YAB Tuan Guru dengan mendakwa tindakan tersebut bercanggah dengan Islam.

Selepas penafian dibuat MB Kelantan, melalui perundingan kedua-dua pihak bersama peguam, Utusan Malaysia akur dan telah memohon maaf kepada pihak Tuan Guru Menteri Besar Kelantan di atas laporan fitnah berkenaan dan permohonan maaf ini disiarkan di muka hadapan Utusan Malaysia 29 Julai 2009.

Akibat kesan buruk melanda hasil daripada fitnah yang dibuat akhbar Utusan, pihak Tuan Guru Menteri Besar Kelantan telah memfailkan saman RM20 juta ke atas Utusan Malaysia.

Kes yang sepatutnya akan dibicara pada 12 Jun 2011 di Mahkamah Tinggi Kota Bharu itu telah ditarik balik melalui rundingan kedua-dua pihak. Harakahdaily melaporkan, pada 10 Jun 2011, pihak Utusan Malaysia melalui peguam yang dilantik telah menghantar notis tawaran penyelesaian di luar mahkamah dengan sejumlah bayaran ganti rugi kepada pihak Tuan Guru Menteri Besar.

Justeru pada prosiding mahkamah yang bermula pada 13 Jun 2011, berasaskan kepada notis yang dihantar tersebut, YAB Tuan Guru telah berbesar hati untuk menarik balik saman dengan sejumlah bayaran yang ditawarkan oleh pihak defendan.
Dikuasakan oleh Blogger.