Header Ads

Kelayakan Olimpik 2012: Malaysia kalahkan Lubnan 2-1

WarkahDaily – Fuhh..cemas giler di separuh masa kedua selepas skuad Olimpik negara terpaksa bermain dengan sepuluh orang apabila pemain tengah, Gary Steven Robbat telah dilayangkan kad kuning kedua yang menyebabkan beliau dibuang padang selepas menjatuhkan pemain Lubnan.


Para pemain negara meraikan kejayaan gol pertama hasil jaringan Md Irfan Fazail dalam perlawanan pusingan kedua kelayakan Olimpik 2012 awal malam tadi. | foto D5 Sports
Namun, bekalan dua gol awal di separuh masa pertama nyata memberi kelebihan buat skuad Ong Kim Swee untuk terus berada di hadapan sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil dari Jepun, Toma Maasaki dan keputusan berkesudahan skuad Olimpik negara benam pasukan Olimpik Lubnan 2-1.

Gol pertama Malaysia dijaringkan di minit awal permainan menerusi rembatan menarik pemain tengah, Mohd Irfan Fazail pada minit ke-7. Gol Mohd Irfan itu terus memberi momentum buat rakan-rakannya untuk terus mengasak kubu lawan yang mula nampak goyah dan tertekan.

Skuad Malaysia mula memperlahankan rentak dan permainan kedua-dua pasukan nampak seimbang sesekali membuat percubaan ke arah pintu gol dengan beberapa peluang tersasar.

Semangat anak buah Samir Saad terus jatuh apabila Wan Zack Haikal Wan Nor terus menambah gol skuad negara apabila menolak mudah bola ke arah pintu gol Lubnan menewaskan penjaga gol, Dakramanji Mohamad hasil hantaran cantik Gary Steven Robbat yang boleh dikatakan bertaraf Liga Inggeris (EPL).

Nyata gol kedua skuad negara terus melemahkan semangat anak buah Samir Saad sehingga tamat separuh masa pertama.

Di separuh masa kedua, Lubnan lebih banyak menguasai permainan apabila rentak pemain negara terencat selepas Gary Steven Robbat terpaksa keluar padang pada minit ke-50 kerana menerima kad kuning kedua selepas cuba mengasari pemain Lubnan.

Rentak anak buah Ong Kim Swee terus terbantut dan bermain secara bertahan menerima asakan bertubi-tubi pemain Lubnan.

Jentera di bahagian tengah nyata terasa kehilangan Gary Steven Robbat terus diasak dan memaksa Khairul Fahmi Che Mat berhempas pulas menyelamatkan pintu gol daripada dibolosi sehinggalah asakan bertali arus Lubnan akhirnya membuahkan hasil untuk merapatkan jurang 2-1 hasil jaringan Chadi Atie selepas kekalutan berlaku di depan pintu gol negara.

Menyedari sukar untuk menyekat corak permainan Lubnan, Kim Swee merombak percaturan untuk mengelak daripada terus dibocori dengan memasukkan Abdul Shukor Jusoh, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Md Izzaq Faris Ramlan.

Beberapa gerakan daripada Haidar menyebabkan barisan pertahanan negara kucar-kacir dan beberapa percubaan bahayanya hampir mengundang padah buat skuad negara namun aksi cemerlang Khairul Fahmi depan pintu gol menidakkan percubaan penyerang lawan membolosi pintu gol hingga ke wisel penamat sekaligus membantu negara meraih kemenangan penting 2 -1 hingga 90 minit permainan dan tiga minit masa tambahan.

Malaysia melangkah ke pusingan seterusnya kelayakan Olimpik 2012 pada September depan selepas berjaya mara dalam saingan peringkat kumpulan zon Asia.
Dikuasakan oleh Blogger.