Header Ads

Kerajaan tak gentar dengan 'Anonymous', BERSIH 2.0 tak takut ISA

WarkahDaily – Sejak beberapa hari lalu, 198 laman web tempatan termasuk portal rasmi kerajaan telah diancam oleh penggodam yang menggelarkan diri mereka 'Anonymous'.

Ancaman itu telah menyebabkan beberapa laman web mengalami sedikit gangguan dan kerosakan namun ianya tidak melumpuhkan keseluruhan laman berkenaan, dakwa kerajaan.

Namun dilaporkan kerajaan akan mengenal pasti penglibatan penggodam laman web kerajaan dan akan menyiasat untuk dibawa ke muka pengadilan.

Dalam masa yang sama, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim turut menjelaskan kerajaan tidak gentar dengan usaha ‘Anonymous’ menggodam laman web kerajaan.

Pun begitu, kerajaan dilihat memberi amaran keras terhadap penggodam dengan mangambil kira undang-undang di Malaysia.

BERSIH 2.0 tak takut ISA

Penganjur BERSIH 2.0 yang akan mengadakan perhimpunan secara aman bagi menuntut pilihanraya adil dan bersih telah diberi amaran oleh kerajaan melalui pihak berkuasa dengan asakan ISA.

Barua Umno, Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) dikatakan cuba menghasut polis untuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menghalang perhimpunan itu diadakan.

Perkara itu dilihat keterlaluan dan melanggar lunas demokrasi seperti yang diperkatakan Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan.

“Mereka mahu ugut siapa? Kami sudah menegaskan kepada semua bahawa kami hanya akan berhimpun secara aman dan menunjuk perasaan kami membantah sistem demokrasi yang masih pincang dan mendesak supaya beberapa tuntutan kami yang mewakili sebahagian besar rakyat diterima dengan baik oleh pihak kerajaan.

“Apa masaalah MUBARAK? Apa masalah kerajaan untuk tidak menunaikan permintaan sebahagian rakyat biar pun tidak semua rakyat dalam negara ini membuat tuntutan serupa?” soalnya dalam satu kenyataan media kelmarin.

Namun, ugutan jahat Mubarak itu sedikit pun tidak memberi apa-apa kudis buat penganjur BERSIH 2.0 untuk mengadakan perhimpunan mendesak kerajaan mengadakan pilihanraya bersih dan telus.

“Jika ugutan dan tangkapan itu mereka fikir boleh menakutkan rakyat, maka saya fikir mereka silap dan 1001 kali silap,” katanya.

Dipetik dari Malaysiakini, Nasrudin sendiri akan berada di barisan hadapan pada perhimpunan berkenaan dan mengingatkan kerajaan khususnya pemimpin BN supaya tidak menakut-nakutkan rakyat dengan ISA.

“Jangan fikir ISA itu boleh mengendurkan semangat saya dan melemahkan kesungguhan saya apalagi mahu menakutkan saya. Saya yakin ini adalah perjuangan rakyat yang mahu menuntut kebenaran, keadilan, ketelusan dan kejujuran dalam sistem pengendalian demokrasi negara dan ia adalah suatu yang dituntut oleh Islam, justeru Islamlah pelopor keadilan, ketelusan dan kejujuran ini,” katanya.

Menurut Nasrudin, himpunan BERSIH tidak meminta suatu yang merugikan mana-mana pihak termasuk kerajaan.

“Apa yang kita minta ialah padang yang sama rata, alat yang serupa dan suasana yang mengizinkan ketelusan berlaku dan dilihat berlakunya ketelusan dalam sistem demokrasi khasnya sistem pengendalian pilihanraya dalam negara ini,” katanya.
Dikuasakan oleh Blogger.