Header Ads

Krisis hutang Greece jejas harga saham Asia

Saham Asia kebanyakan susut semalam susulan kebimbangan peniaga mengenai krisis hutang Greece yang akan turut menjejaskan negara lain di Eropah.

Pasaran saham mula jatuh selepas amaran dikeluarkan agensi penarafan, Moody akhir minggu lalu berhubung masalah kredit bank di Itali, yang akan menjejaskan keseluruhan sektor.
Pasaran Nikkei ditutup 1.04 peratus, atau 100.40 mata lebih rendah pada 9,678.31, Sydney susut 1.01 atau 46.3 mata kepada 4,461.8 dan Seoul jatuh 0.98 peratus, atau 20.52 mata kepada 2,070.29.

Hong Kong jatuh 0.70 peratus, tetapi Shanghai naik 0.54 peratus kerana peniaga yang beralih kepada berita tempatan, menumpukan kepada komen positif daripada Premier Wen Jiabao, yang mengatakan inflasi mampu dikekang tahun ini.

Komen beliau ditafsirkan dengan membawa maksud Beijing berkemungkinan tidak akan mengetatkan lagi dasar monetari negara ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Kebanyakan pelabur di Asia bimbang mengenai masalah hutang kredit yang berlaku di Eropah, yang mana Moody telah meletakkan kemungkinan menurunkan penarafan bagi 16 bank di Itali dan menukar tinjauannya ke negatif daripada hanya 13 bank yang stabil sebelum ini.

Agensi berkenaan juga telah melahirkan keraguan berhubung keupayaan kerajaan itu untuk mengurangkan defisit awam Itali serta turut mengeluarkan amaran risiko berkenaan akan terus meningkat.

Amaran terbaru itu telah menyebabkan bon selama 10 tahun antara Itali dan Jerman meningkat kepada 212 mata asas, yang tertinggi sejak penubuhan Eropah.

“Kami telah melihat perkara seumpama ini sebelum masalah hutang Greece ini merebak ke negara jiran seperti Sepanyol dan Itali. Justeru, kita perlu berhati-hati dengan risiko hutang kedaulatan Eropah ini,” kata Penganalisis Teknikal Kanan Mizuho Securities di Tokyo, Yutaka Miura.

Berita itu juga telah menyebabkan Dow Jones Industrial Average susut 115.42 mata (0.96 peratus) untuk ditutup pada 11,934.58.

Di pasaran lain, Taipei ditutup rendah 0.38 peratus, kehilangan 32.67 mata kepada 8,500.16.

Saham Fubon Financial naik 0.7 peratus kepada Tw$43.15 dan Cathay Financial susut 1.3 peratus pada Tw$42.05.

Bagaimanapun, saham Taiwan Semiconductor Manufacturing Company jatuh 1.2 peratus kepada Tw$72.00. Hon Hai juga susut 1.6 peratus kepada Tw$96.00. Manila jatuh 0.50 peratus, atau 2.15 mata kepada 4,289.29.

Philex Mining susut 2.1 peratus kepada 22.80 pesos dan DMCI Holdings turun 0.1 peratus kepada 43.15 pesos. Bagaimanapun, Energy Development naik 0.8 peratus kepada 6.62 pesos dan Metropolitan Bank & Trust bertambah 0.9 peratus kepada 69.75. Saham Wellington jatuh 0.51 peratus, atau 17.58 mata kepada 3,438.08.

Telecom ditutup rendah 2.2 peratus pada NZ$2.455 dan and Auckland Airport susut 1.1 peratus kepada NZ$2.21. Fletcher Building pula susut 0.4 peratus kepada NZ$8.64. –AFP
Dikuasakan oleh Blogger.