Header Ads

Negara maju tapi lebuhraya hanya satu lorong

Pemuda PAS Johor kecewa apabila fasa terakhir lebuh raya Pasir Gudang ke Desaru hanya satu lorong sahaja.

“Tidak pernah rakyat Johor mendengar atau melihat lebuh raya dalam dunia ini hanya satu lorong dan bakal dikenakan tol selepas 10 Julai 2011,” kata ketuanya, Suhaizan Kayat kepada Harakahdaily.


Laluan selorong lebuhraya Senai-Desaru di Johor. | foto Harakahdaily
Katanya, rakyat Negeri Johor sememangnya tertunggu-tunggu siapnya lebuh raya dari Senai ke Desaru di Kota Tinggi yang merupakan sebahagian daripada projek pembagunan Iskandar Malaysia.

Panjangnya 77 km melingkari dari Senai, Ulu Tiram, Pasir Gudang dan Desaru dengan nama singkatan Senai-Desaru Expressway (SDE).

Ia boleh menjimatkan masa perjalanan daripada jalan biasa dua jam setengah kepada hanya satu jam sahaja.

Projek itu telah dibina oleh syarikat Ranhill Engineers & Constructors Sdn Bhd dan merentasi Sungai Johor berhampiran Pasir Gudang sepanjang 1.7 km.

Fasa terakhir lebuh raya adalah daripada Pasir Gudang Ke Desaru telah dibuka pada 10 Jun lalu dan percuma tanpa bayaran tol selama sebulan.

Menurut Suhaizan, laluannya terlalu sempit dan tidak mempunyai side table atau bahu jalan yang cukup untuk tujuan kecemasan.


Pengguna lebuhraya Senai-Desaru di laluan tol. | foto Harakahdaily
“Laluan ini sangat merbahaya kepada kenderaan khususnya waktu malam kerana kawasannya yang gelap tanpa lampu jalan yang cukup,” katanya.

Katanya, pengguna hanya selesa membawa kenderaan dengan kelajuan 60 km sejam sahaja.

Beliau menambah, apabila kemalangan atau kerosakan kenderaan berlaku, maka lebuh raya itu akan berlaku kesesakan yang teruk di kedua-dua belah lorong.

Katanya, kesesakan yang paling ketara dijangka akan berlaku di hujung minggu atau musim cuti adalah laluan menurun dari atas Jambatan Sungai Johor dan di tol Desaru.

Ini, ujarnya kerana laluan di atas jambatan terdapat dua lorong tetapi malangnya laluan selepas jambatan hanya mempunyai satu lorong sahaja sementara kaunter tol pula hanya ada dua sahaja untuk bayaran tunai.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Johor ingin mendapatkan penjelasan daripada kerajaan mengapa projek Lebuhraya Pasir Gudang–Desaru hanya mempunyai satu lorong sahaja,” ujarnya.

Katanya, jika pihak kerajaan membenarkan syarikat konsesi itu mengutip bayaran tol selepas 10 Julai nanti, maka Pemuda PAS Johor akan membuat bantahan besar-besaran kepada pihak kerajaan. -Harakahdaily
Dikuasakan oleh Blogger.