Header Ads

Pasai apa enta ni Anwar…

WarkahDaily – Pertamanya, penulis mohon kemaafan dari pengikut Datuk Seri Anwar pasai penulis mahu komen sikit pasai bos hangpa tu. Semuanya pasal BERSIH 2.0 yang kini begitu mendapat liputan meluas dari media termasuk media arus perdana milik kerajaan Barisan Nasional (BN).

Semua orang tahu, BERSIH 2.0 ini digerakkan oleh Badan Bukan Kerajaan NGO yang dipimpin Datuk Ambiga Sreenevasan. Sesekali, dikatakan Timbalan Presiden PAS, Mohamed Sabu adalah ‘panglima utama’ perhimpunan berkenaan.


Anwar Ibrahim
Perhimpunan menuntut pilihanraya bersih dan adil itu bakal diadakan 9 Julai ini di Kuala Lumpur dan dijangka akan mengatasi rekod perhimpunan BERSIH pertama apabila semua saluran media termasuk media pro BN memberi publisiti percuma kepada perhimpunan itu.

Boleh dikatakan cubaan mengadakan perhimpunan itu sudah masuk ‘gear’ empat dan hampir ke ‘gear’ lima, namun semalam dilaporkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat cuba menarik ‘hand break’ dengan memberi ‘option’ (pilihan) kepada kerajaan BN pimpinan Najib Razak yang sejak dari mula lagi sudah menunjukkan ketakutannya apabila cuba mengerahkan dua ‘pasukan soraknya’ iaitu Perkasa dan pemuda Umno untuk membuat kacau perhimpunan itu.

Anwar dilaporkan dalam Malaysiakini, telah bertindak di luar dugaan penganjur BERSIH 2.0 apabila memberi peluang Najib dan Umno-BN ‘bernafas’ sebentar apabila dengan tiba-tiba mengeluarkan kenyataan, BERSIH 2.0 akan dibatalkan jika Najib dapat memberi jaminan pilihan raya umum yang bersih dan adil. Baca di sini.

Amat mustahil ada orang kata Anwar takut dengan desakan Perkasa dan pihak polis agar membatalkan perhimpunan BERSIH 2.0 kerana beliau setakat ini telah berjaya menghadapi pelbagai dugaan dan ujian yang menimpanya.

Malaysiakini dipetik, Anwar yang juga ketua umum PKR berkata beliau akan meminta Ambiga membatalkan perhimpunan itu jika Najib boleh memberi jaminan tersebut esok.

Beliau memberitahu demikian ketika berucap kepada lebih 2,000 ahli PKR yang menghadiri konvensyen parti di Shah Alam.

Pertama Anwar perlu sedar, siapa dia sehingga tidak perlu berbincang dengan penganjur atau majlis pimpinan Pakatan Rakyat (PR) terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian yang mungkin boleh mengendurkan semangat aktivis dan pengikut PR untuk menyertai perhimpunan itu.


Ambiga Sreenevasan
Dalam perkembangan lain, Ambiga secara jelas menolak cadangan Ketua Umum PKR dan menempelak cadangan Anwar itu. Baca di sini.

"Keputusan (membatalkannya) bukan di tangan kamu, tetapi ia ditangan kami," katanya sambil menegaskan perhimpunan itu tetap diteruskan.

Dipetik dari Malaysiakini, Ambiga menjelaskan perhimpunan pada 9 Julai depan adalah untuk rakyat dan bukan untuk kepentingan dirinya.

"Perhimpunan ini bukan untuk saya, ia adalah untuk kamu, untuk rakyat. Ia tentang rakyat Malaysia," katanya.

Kedua, Anwar juga perlu sedar, cabaran yang diberikan terhadap Najib itu jika disanggupi Najib bagaimana keadaannya?

Dan yang pasti, apakah Anwar akan desak perhimpunan BERSIH 2.0 dibatalkan jika cabaran itu diterima Najib walaupun semua sudah maklum, Umno-BN adalah sejenis makhluk yang tidak menepati janjinya.

Pada awalnya mungkin Najib menyahut cabaran, kemudian 'last minit' perjanjian dicabuli Najib. Semua itu ada pengalaman. Ketika itu jika ditakdirkan juga BERSIH 2.0 dah pun dibatalkan. Apa akan jadi?

Bukti di depan mata. Hasil royalti yang sepatutnya Petronas berikan kepada Terengganu dan Kelantan telah dinafikan walaupun ianya termaktub dalam perjanjian. Itu yang termaktub dan bertulis. Bagaimana pula cabaran yang ntah ada hitam putih atau tidak, sudah pasti ianya lagi senang untuk dibohongi Umno-BN.

Apakah Anwar belum sedar dengan fitnah yang ditimpanya sehingga boleh lagi menghulur tangan ‘kountim’ dengan Najib dalam perkara mengadakan pilihanraya yang telus dan bersih.

Pada penulis, amat mustahil Umno-BN akan mengadakan pilihanraya bersih dan telus kerana mereka ini bimbang dengan kuasa mereka akan terlepas jika pilihanraya diadakan secara telus dan bersih.

Ketiga, Anwar jangan terburu-buru buat keputusan yang menyandarkan kepada peribadi beliau kerana PR bukan BN yang dikuasai individu Umno semata-mata.

Sehebat mana sekali pun, enta tidak berhak melangkaui hak orang lain yang bukan dari enta sendiri. Tunjukkan PR bergerak atas dasar musyawarah dan bukannya individu. Setiap keputusan perlu dihadapi bersama.

Maaf buat pengikut Anwar sebab post kali ini penulis cuba menegur bos anda. Tapi bukan kerana benci tapi kerana sayangkan PR. NGO boleh dikatakan sebahagian daripada PR kerana mempunyai perjuangan yang sama demi menjatuhkan Umno-BN dan mencerahkan jalan menuju ke Putrajaya.

Dan yang pasti, penulis masih lagi mengharapkan apa yang Anwar buat tu ada sebab-sebab tertentu yang mungkin penulis dan beberapa pihak tidak ketahui sebab-sebab Anwar mengeluarkan kenyataan demikian demi kebaikan PR.

Tapi berbincang sesama sendiri (Anwar dan BERSIH 2.0 termasuk pimpinan PR) dahulu sebelum berlakunya ‘ribut dalaman’ sebelum ianya dijadikan peluru buat musuh untuk merendahkan moral dan semangat pengikut PR yang mungkin sudah siap-siaga dan berkira-kira untuk mengambil cuti demi menuntut keadilan dan ketelusan dalam pilihanraya.

Mungkin keterlaluan jika dikatakan Anwar bimbang popularitinya tenggelam akibat publisiti yang diperolehi Ambiga dan panglima utama BERSIH 2.0 (Abang Mad Sabu) seperti yang ditulis oleh cenangau di sini. Aku tak setuju tapi suka dengan komentarnya.
Dikuasakan oleh Blogger.