Header Ads

Sekumpulan penggodam dakwa berjaya ceroboh dan mencuri data dari web Senat AS

WASHINGTON: Sekumpulan penggodam komputer mendakwa mereka telah berjaya mencerobohi dan mencuri data dalaman daripada laman web Senat Amerika Syarikat semalam.


Wartawan menyemak laman web Senat AS di Washington DC pada 13 Jun 2011. | foto Reuters
Kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Lulz Security' mempamerkan fail data yang diperolehi itu dalam laman web lulzsecurity.com.

"Ini hanya sebahagian kecil, hanya sebagai permulaan daripada sebahagian besar data daripada Senate.gov. Ini sebagai satu tindakan 'peperangan'.

"Kami tidak menyukai pemerintah Amerika Syarikat. Laman mereka sebenarnya tidak selamat," kata Lulz Security dalam kenyataannya.

Lulz Security juga mendakwa mereka sudah melancarkan beberapa serangan siber sejak beberapa minggu lalu.

Sasaran mereka termasuk operasi dalam talian syarikat Sony, rangkaian laman web Biro Siasatan Federal (FBI), laman web perisian permainan video Bethesda Softworks dan laman web badan bukan cari untung, Public Broadcasting Service.

Sementara itu, Bentara Cokmar (Sergeant at Arms) Senat, yang bertanggungjawab atas keselamatan Dewan Senat, mengesahkan pencerobohan laman web itu berlaku tetapi menegaskan tiada maklumat sensitif yang bocor.

"Penceroboh itu tidak dapat memasuki rangkaian komputer Senat dan hanya dapat membaca dan mengetahui struktur fail yang disimpan dalam laman Senate.gov," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu lagi, fail yang dicerobohi mengandungi maklumat yang sepatutnya disebarkan kepada orang awam.

"Walaupun pencerobohan ini satu perkara yang menyusahkan, ia tidak menjejas keselamatan rangkaian Senat, para anggota atau kakitangannya.

"Secara khusus, tiada maklumat pengguna akaun individu dalam rangkaian ini dibocorkan," tambah kenyataan itu.

Satu semakan akan turut dilakukan ke atas semua laman web yang dihos oleh Senate.gov bagi mengukuhkan lagi keselamatan siber. -AFP
Dikuasakan oleh Blogger.