Header Ads

Selepas ‘Buku Jingga, ‘Buku Hijau’ bakal beri ancaman buat Umno

WarkahDaily – Kesungguhan PAS mewujudkan negara berkebajikan yang merupakan intipati sebuah negara Islam kini memberi ancaman besar kepada Umno yang dilihat terus menerus membuat serangan membuta-tuli terhadap parti Islam itu konon PAS sudah meminggirkan dasar Islamnya.

Sehingga ada yang sengaja menampakkan kejahilannya secara terang-terangan semata-mata kepentingan politik bodoh mereka apabila membuat desakan tidak masuk akal agar PAS melucutkan Islam pada namanya kerana menuduh PAS telah memansuhkan dasar negara Islamnya selepas baru-baru ini.

Kalau mereka yang membuat tuduhan itu seperti presiden Umno kini yang jahil dalam bidang agama, ianya tidaklah memalukan dan menjengkelkan tetapi orang seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi yang terkenal dengan anak ulamak dan berkelulusan agama turut membuat tuduhan melulu terhadap PAS konon telah menggugurkan perjuangan negara Islam dan diganti negara kebajikan.

Yang peliknya, sekarang duk sibuk bercakap pasal negara Islam, bukan ketika beliau berada di tampuk pemerintahan yang sudah pasti beliau berkuasa dan mempunyai autoriti lebih untuk bercakap pasal negara Islam. Tetapi tidak pula dibicaraka. Ini barulah bertujuan meraih sokongan politik sempit Umno.

Namun, bagi Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi tidak mudah melatah dengan desakan itu dan menegaskan, PAS sebenarnya memperincikan dasar yang sedia ada dengan mengketengahkan intipati sebuah negara Islam itu sendiri.

Sambil menyifatkan orang yang membuat tohmahan dan tuduhan sebagai orang yang tidak membaca berkaitan politik Islam (jahil politik Islam).

“Itu adalah kenyataan orang yang tidak membaca apa dia politik Islam.

“Insya’Allah, saya akan terbitkan satu buku yang akan menerangkan apa itu negara berkebajikan, berlandaskan perlembagaan PAS yang berpandukan Al-Quran, hadis, ijmak ulamak dan qias,” jelas Hadi memberi respon terhadap orang yang mempertikaikan Negara Berkebajikan.

Dalam perkembangan lain, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut menjelaskan, Negara Berkebajikan yang diketengahkan dalam ucapan dasar Presiden PAS dalam muktamar baru-baru ini merupakan intipati dari negara Islam.

“Walhalnya konsep negara berkebajikan, keadilan, keselamatan, kesejahteraan, kemakmuran adalah intipati dari negara Islam,” kata Tuan Ibrahim.

Semenjak PAS membentangkan penubuhan sebuah negara berkebajikan di Muktamar ke 57, pimpinan Umno dan media tali barutnya bertubi-tubi telah menyerang dan cuba merosakkan pemikiran rakyat terhadap parti Islam itu dengan tuduhan kononnya PAS telah mengubah dasar perjuangan.

Namun ianya disambut baik oleh para ilmuan di negara ini sambil meminta PAS memperinci Negara Berkebajikan yang diketengahkan itu.

Bekas mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin bertindak memuji usaha PAS itu sambil meminta ianya diperincikan konsep Negara Berkebajikan yang ingin diketengahkan itu.

Kesungguhan PAS semakin nyata apabila minggu lepas bertindak membentuk satu panel khas pelaksana parti yang akan memperincikan konsep Negara Berkebajikan yang diutarakan presidennya itu yang akan diketuai Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Menurut Harakahdaily, panel berkenaan turut dianggotai Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dua ahli jawatankuasa kerja pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Idris Ahmad, Pengerusi Institut Kajian Polisi PAS, Dr Zuhdi Marzuki dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat, Dr Siti Mariah Mahmud.

Menurut Salahuddin, panel yang dibentuk itu akan memperincikan konsep Negara Berkebajikan.

“Melalui panel ini, kami akan memperincikan konsep negara berkebajikan dengan mengemukakan ciri-ciri sebuah negara berkebajikan,” jelas Salahuddin.

Ianya akan diperincikan dalam bentuk ‘Buku Hijau’ yang merupakan pelengkap kepada ‘Buku Jingga’ yang diusahakan Pakatan Rakyat (PR). Ianya selari dengan ‘Buku Jingga’.

“Kita akan dokumenkan konsep ini dalam bentuk buku dan Buku Hijau ini akan diedarkan di seluruh negara dalam masa terdekat,” kata Salahuddin, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Dikuasakan oleh Blogger.