Header Ads

Ulamak Abu Bakar dijatuhi hukuman penjara 15 tahun

JAKARTA: Mahkamah Indonesia, semalam menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas ulama Abu Bakar Bashir kerana menyalurkan dana untuk kumpulan pengganas yang merancang serangan terhadap warga asing dan pemimpin politik negara itu.


Abu Bakar Bashir melambai tangan dari kenderaan polis selepas dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun oleh mahkamah di Jakarta. | foto AFP
Pendakwah berusia 72 tahun itu kelihatan bersahaja sebaik hakim Herri Swantoro membacakan keputusan bersalah dan hukuman pada akhir perbicaraan selama empat bulan di mahkamah daerah di Jakarta selatan.

“Abu Bakar Bashir dibuktikan bersalah merancang dan menghasut orang lain supaya memperuntukkan dana untuk aktiviti keganasan...dan dia dihukum penjara 15 tahun,” kata hakim, menyebabkan penyokongnya dalam mahkamah terkejut.

Dengan memakai jubah dan kopiah putih, Abu Bakar yang dirujuk sebagai pemimpin agung rangkaian keganasan Jemaah Islamiyah segera berjanji akan membuat rayuan terhadap hukuman itu yang dikatakannya kerja syaitan.

“Ini haram (dilarang dalam Islam). Saya menolaknya kerana ia kejam dan bertentengan dengan undang-undang syariah Islam.

Hukuman ini dilakukan rakan syaitan dan haram untuk saya menerimanya,” katanya kepada hakim.

Kira-kira 500 penyokong kumpulan radikal melaungkan Allahu Akbar (Allah Maha Besar) di luar mahkamah sebaik keputusan dibacakan. Kira-kira 3,000 anggota polis yang diperkukuh dengan kenderaan perisai dan penembak tepat berkawal sekiranya kejadian keganasan tercetus.

“Hukuman ini satu jenaka. Mereka tidak melihat kebenaran, mereka hanya ingin memenuhi kehendak pemimpin politik yang berkuasa masa kini,” kata jurucakap Jemaah Ansharut Tauhid (JAT) yang dipimpin Abu Bakar. -AFP
Dikuasakan oleh Blogger.