Header Ads

AirAsia Bhd dan ANA Group bakal bentuk AirAsia Japan

AirAsia Bhd dan syarikat penerbangan terbesar Jepun, ANA Group, akan bekerjasama untuk membentuk AirAsia Japan, yang akan menjadi syarikat penerbangan tambang murah pertama berpangkalan di Narita International Airport, Tokyo.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat penerbangan itu dijangka menyediakan perkhidmatan bagi destinasi domestik dan antarabangsa apabila operasi bermula pada Ogos 2012.

“AirAsia Japan bukan sahaja akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi antara Asean dan Asia Timur dengan menyediakan akses lebih baik ke pasaran-pasaran di sekitar rantau ini, tetapi juga meningkatkan pautan dalam sektor perjalanan dan pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, usaha sama itu merupakan pencapaian penting dalam pertumbuhan AirAsia kerana ANA akan menjadi rakan kongsi syarikat penerbangan pertama yang membentuk usaha sama dengan AirAsia.

Dengan kedudukan mantap di rantau Asean, AirAsia mencari rakan kongsi perniagaan yang mempunyai pengaruh pasaran kukuh di Jepun untuk meningkatkan hubungan dua hala antara Asean dan Jepun.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ANA, Shinichiro Ito berkata, ANA juga mencari peluang untuk melancarkan perniagaan penerbangan tambang murah selepas kajian terperinci memutuskan bahawa berkongsi dengan sebuah syarikat penerbangan tambang murah sedia ada akan menjadi pilihan paling strategik dan cekap.
Dikuasakan oleh Blogger.