Header Ads

BERSIH 2.0 fail semakan kehakiman batal pengharaman

KUALA LUMPUR: Empat belas anggota Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan perintah yang mengisytiharkan gerakan itu sebagai pertubuhan haram.

Kesemua 14 anggota berkenaan termasuk Datuk S. Ambiga (gambar) memfailkan permohonan itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini menerusi peguam mereka, Tetuan Azzat & Izzat.

Dalam permohonan itu, mereka menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara (KPN) dan kerajaan sebagai responden.

Kesemua anggota berkenaan antara lain memohon perintah certiorari bagi membatalkan pengisytiharan perintah oleh Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai yang mengisytiharkan gerakan Bersih sebagai pertubuhan haram dan memerintahkan pembatalannya berkuat kuasa serta merta.

Mereka juga mahukan satu deklarasi bahawa perintah itu batal dan tidak sah serta tiada mempunyai kesan.

Para anggota itu juga memohon perintah mandamus yang mengarahkan Menteri Dalam Negeri dan KPN untuk memulangkan semula baju-T, pelekat, surat khabar, sepanduk dan apa-apa dokumen lain atau objek kepunyaan mereka yang dirampas. -Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.