Header Ads

Copa Amerika 2011: Dua ledakan Luiz Suarez bantu Uruguay ke final

WarkahDaily – Penyerang Liverpool, Luiz Suarez menjadi wira Uruguay apabila menjaringkan dua gol menewaskan Peru 2-0 untuk mara ke final kempen Copa Amerika 2011 pada aksi separuh akhir di Stadium Ciudad de La Plata awal pagi semalam.



Luis Suarez (kanan) ledak dua gol dalam masa lima minit buat Uruguay mara ke final Copa Amerika 2011 menewaskan Peru 2-0 dalam pertemuan separuh akhir di Stadium Ciudad de La Plata awal pagi semalam. | foto Reuters
Namun, Uruguay terpaksa menunggu separuh masa kedua untuk menempa ke final apabila kedua-dua pasukan berkesudahan seri tanpa jaringan di separuh masa pertama.

Separuh masa kedua bermula, Suarez sekadar mengambil masa lima minit untuk meletakkan Uruguay di depan dengan dua gol. Gol dijaringkan penyerang Liverpool itu di minit ke-52 dan terus menambah cengkaman Uruguay pada minit ke-57.

Kemenangan 2-0 ke atas Peru telah memberi ruang buat Uruguay menghampiri rekod 15 kali kejuaraan sejak diperkenalkan pada tahun 1916.

Di awal kejohanan, Uruguay dilihat banyak dengan aksi hambar, sekadar sekali kemenangan dan dua kali seri dalam aksi kumpulan C.

Namun, semuanya bermula ketika langkah Uruguay ke peringkat suku akhir apabila berjaya mengejutkan tuan rumah, Argentina 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi suku akhir.

Bagi Jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez, kejayaan pasukan itu mara ke final kerana berdasarkan faktor pengalaman serta kestabilan aksi anak buahnya.

“Kami (Uruguay) terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri dalam dua perlawanan peringkat kumpulan. Ini kerana, pasukan yang berada satu kumpulan dengan kami telah mengenali corak permainan masing-masing sejak sekian lama.

“Kami berasa sangat gembira apabila dapat mara ke final namun perjalanan kami masih jauh yang mana kami perlu mengekalkan rentak permainan serta disiplin kami bagi memastikan kemenangan akan memihak kepada kami pada aksi final nanti.

“Banyak perkara yang kami perlu perbaiki dan bola sepak sudah pastinya memerlukan daya saing yang cukup tinggi,” kata Tabarez.

Pada aksi final yang bakal berlangsung awal pagi Isnin ini, Uruguay akan berdepan pemenang perlawanan diantara Paraguay dengan Venezuela yang akan turun beraksi dalam satu lagi pertemuan separuh akhir awal pagi ini.
Dikuasakan oleh Blogger.