Header Ads

Esok bermulanya episod perjuangan rakyat

Episod pertama perjuangan Bersih 2.0 dianggap berjaya apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) terpaksa menggunakan intitusi raja bagi memastikan perhimpunan 9 Julai tidak menjadi kenyataan.

Namun apa yang jelas suara dan tuntutan lapan perkara diutara Bersih 2.0 sudah didengari di seluruh negara sehingga melewati pagar Istana Negara.

Ternyata kemunculan Bersih 2.0 yang digerakkan 60 badan bukan kerajaan berjaya meletakkan kerajaan BN dalam suasana cemas dan panik.

Sama seperti cabaran debat PAS terhadap pemimpin Umno suatu ketika dahulu akhirnya diarah dibatal menggunakan kuasa tertinggi negara.

Hari ini episod lama itu diulang kembali sebagai langkah terakhir bagi menyelamatkan kerajaan BN.

Namun bagi peguam hak asasi, Faizal Che Yusoff, 9 Julai perlu dijadikan titik mula mendesak secara berterusan terhadap kerajaan yang mengawal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Himpunan bagi menunjukkan rakyat bersama perjuangan demokrasi yang adil perlulah diadakan secara berkala di segenap tempat sehingga ke ceruk kampung.

“Program penerangan terhadap tuntutan Bersih 2.0 perlulah diadakan selama mana lapan perkara tidak ditunaikan pemerintah,” katanya di sini.

Hari ini kesemua akhbar menyiarkan titah khas Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan kerajaan agar melaksanakan segala amanah diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana.

“Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan,” titah baginda.

Ekoran titah tersebut Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga dilapor berkata, perhimpunan Bersih yang dijadualkan 9 Julai ini bergantung kepada keputusan pertemuan mereka dengan Yang di-Pertuan Agong.

Gabungan NGO di bawah Bersih hari ini menghantar permohonan untuk mengadap Seri Paduka.

Faizal juga berkata, ekoran pelbagai kecelaruan dilakukan pasukan polis menghalang Bersih 2.0, cadangan Suruhanjaya Diraja bagi penambahbaikan perkhidmatan polis perlu dinyaringkan semula. -Harakahdaily
Dikuasakan oleh Blogger.