Header Ads

Hishammuddin derhaka terhadap Tuanku Mizan

WarkahDaily – Pemimpin Umno telah memperlihatkan wajah sebenar mereka apabila ketakutan sedang menyelubungi mereka hasil daripada rakyat kini telah bersedia bangkit menuntut keadilan dan ketelusan dalam pilihanraya yang dipenuhi dengan penipuan suruhanjaya pilihanraya (SPR) yang bersubahat dengan Umno-BN demi mempertahankan kuasa mereka.

Selama ini pemimpin Umno selalu mendakwa merekalah satu-satunya makhluk yang tak pernah menderhakai raja. Konon merekalah yang sentiasa menjunjung perintah, taat dan patuh kepada raja.

Tapi sejarah tidak semudah itu untuk dipadamkan. Sejarah telah membuktikan siapa sebenarnya pemimpin Umno-BN. Kini selaput kulit derhaka pemimpin Umno-BN menjelma kembali selepas bermacam-macam bentuk penderhakaan dilakukan Umno.

Kerana bimbang kuasa mereka jatuh, pemimpin Umno sanggup buat apa sahaja bagi menghalalkan cara pemerintahan zalim dan kuku besinya.

Baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah menitahkan kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijaksana. Baginda turut menekankan sifat tolak ansur dan meminta perundingan secara damai atas setiap permasalahan berlaku. Baca di sini.

Namun, kerana kedegilan dan kesombongan para pemimpin Umno yang merasakan mereka lebih berkuasa dari Yang di-Pertuan Agong sehingga sanggup mengenepikan titah baginda yang dilihat menepati ciri-ciri kepimpinan yang memayungi keadilan dan kesejahteraan kepada semua rakyat.

Walaupun baginda meminta satu perundingan yang adil dilakukan bagi menyelesaikan masalah rakyat yang cuba disuarakan oleh BERSIH 2.0 melalui perhimpunan 9 Julai, namun menteri yang menjaga hal ehwal dalam negeri begitu bongkak dan sombong mengenepikan titah baginda itu.

Kisah penderhakaan para pemimpin Umno terhadap raja berulang lagi namun ianya sengaja digelapkan oleh barua-barua Umno yang bertopengkan media arus perdana.

Kerana bimbang kuasa hilang, menteri Umno tidak lagi mempedulikan titah raja, mereka arahkan kepada polis supaya terus menahan penyokong BERSIH 2.0 dengan mengatakan gabungan itu masih haram. Ini menjelaskan kepada kita, menteri berkenaan telah menghina titah Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Awal minggu ini, pihak Tuanku Mizan telah memperkenan untuk menerima pertemuan wakil gabungan BERSIH 2.0 bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.

Keadaan itu membingungkan para pemimpin Umno dan keadaan mereka tersempit dan tak keruan kerana langkah pengharaman yang dilakukan kabinet Najib terhadap Himpunan BERSIH 2.0 dilihat terencat dan berlawanan dengan pendirian pihak Tuanku Mizan.

Tapi, buat pemimpin Umno, itu semua mereka tidak pedulikan asalkan kuasa jahat mereka harus dikekalkan bagi memudahkan mereka mengumpul kekayaan peribadi dan kroni hasil songlap duit rakyat.

Jadi, bukan perkara luar biasa jika penderhakaan pemimpin Umno terhadap raja terus menerus berlaku kerana itu memang sifat sombong dan bongkak mereka sejak dari dulu, kini dan selama-lamanya. Itu semua bukan lagi persepsi tetapi realiti dan kebenaran yang harus diterima semua pihak.
Dikuasakan oleh Blogger.