Header Ads

Jumpa Pope Benedict: Najib terdesak raih sokongan penganut Katolik – Pemuda PAS

WarkahDaily – Pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Pope Benedict XVI di Vatican dilihat sebagai satu muslihat untuk meraih sokongan penganut Katolik yang berada di Malaysia, kata Pemuda PAS dalam satu kenyataan media yang diedar semalam.

Tindakan terdesak pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) itu bertujuan memulihkan kembali sokongan penganut Katolik di Malaysia selepas beberapa siri lawatan Najib ke negara lain bagi tujuan yang sama.

“Bagi kami, tindakan tersebut jelas sepertimana dahulu juga ketika Perdana Menteri turut membuat lawatan ke Negara India dan China bagi tujuan meraih psikologi pengundi berbangsa India dan Cina di Malaysia menjelangnya Pilihanraya,” jelas Raja Ahmad Al-Hiss (gambar) selaku Naib Ketua Pemuda PAS.

Raja Ahmad turut memberitahu, selain cuba meraih simpati Pope atas lawatan itu, Najib turut melakukan lawatan ke negara-negara maju bagi membuat ulasan versi Umno-BN agar tidak terus dikecam negara-negara berkenaan berkaitan krisis politik yang terbaharu melanda negara.

Sebelum itu, Najib cuba membina pengaruh dari rakyat beragama Islam terhadap kerajaan pimpinannya dengan menjemput para ulamak seluruh dunia namun menempuh kegagalan, maka Najib mula beralih kepada negara-negara maju untuk mengelak dari terus dikritik selepas kejadian BERSIH 2.0.

“Juga suatu ketika dahulu, usaha Dato’ Seri Najib untuk membawa Sheikh Yusuf al-Qaradawi ke Malaysia kurang berkesan bagi tujuan yang sama untuk membina pengaruh umat Islam terhadap pemerintahan BN.

“Bagi kami usaha membawa Ulama-Ulama luar negara untuk membela perbuatan Dato’ Seri Najib dan BN juga gagal.

“Kami melihat Dato’ Seri Najib terpaksa pergi membuat lawatan ke negara-negara maju seperti Negara Amerika, Britain dan negara-negara lain untuk menerangkan keadaan sebenar (versi Umno-BN) dari terus dikritik oleh negara maju yang ada yang mengecam Malaysia dalam krisis politik yang semangkin buruk selepas Perhimpunan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) pada 9 Julai yang lalu,” jelas Raja Ahmad lagi.

Bagi mengekalkan kuasa pemerintahan BN, Dato’ Seri Najib dipaksa bergerak keseluruh dunia bagi membuktikan BN masih mampu kekal memerintah, terang Raja Ahmad lagi.

“Dan tindakannya (Najib) juga bertemu dengan tokoh agama adalah langkah bagi memberikan keyakinan dan psikologi bagi membina sokongan terhadap BN menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 yang semangkin hampir berikutan kebangkitan rakyat pelbagai kaum dan agama baru-baru ini yang menuntut satu sistem Pilihanraya di Malaysia yang telus dan terbaik,” kata Naib Pemuda PAS itu lagi.

Dalam pada itu, pertemuan Najib dengan Pope Benedict dilaporkan Najib cuba berbicara soal perpaduan dan agama namun bagi Pemuda PAS, Najib tidak layak untuk memperkatakan akan hal itu.

“Kami juga melihat, Dato’ Seri Najib tidak layak untuk bercakap soal perpaduan dan Agama dengan Pope Benedict kerana pada hakikatnya beliaulah yang bertanggungjawap dalam perpecahan yang berlaku di Malaysia sekarang,” tegas Raja Ahmad.
Dikuasakan oleh Blogger.