Header Ads

Malaysia kalah tipis dengan Chelsea, pujian buat pemain muda negara

WarkahDaily – Walaupun diserang bertubi-tubi, namun pertahanan skuad pilihan Malaysia harus dipuji dengan kesungguhan dan kekentalan menyekat asakan pemain bintang dari kelab gergasi England, Chelsea daripada teruk dibolosi dengan jaringan gol yang besar dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi (Khamis).


Pemain Chelsea, Florence Malouda dikawal ketat oleh para pemain Malaysia ketika perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 21 Julai 2011. Chelsea menang 1-0. | foto Astro
Chelsea menang tipis 1-0 hasil tendangan percuma Drogba pada minit ke-79 itu yang singgah di tiang gol sebelum terkena badan penjaga gol gantian pasukan kebangsaan, Mohd Izham Tarmizi di lihat agak kontroversi kerana beberapa ulang tayang menunjukkan bola tidak melepasi garisan.

Separuh masa pertama, permainan dilihat hampirkeseluruhan perlawanan dikawal Chelsea. Ong Kim Swee sengaja menurunkan pemain senior yang rata-rata sudah berumur berbanding skuad muda olimpik negara, namun strategi menurunkan pemain yang dikatakan berpengalaman itu tidak banyak memberi apa-apa kelebihan buat Malaysia.

Walaupun pernah mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa sebelum ini, tetapi skill dan corak permainan yang ditunjukkan dilihat kurang menyerlah sebelum Ong Kim Swee menurunkan ramai pemain muda di separuh masa kedua.

Pada awal permainan, rata-rata corak permainan yang ditunjukkan pemain senior dilihat tidak tersusun dan tiada keserasian antara pemain lain. Banyak kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku telah dilakukan oleh pemain senior. Pengalaman yang diharapkan dari mereka nampaknya tidak banyak memberi manfaat kepada skuad pilihan Malaysia.

Namun, corak tersusun permainan skuad Malaysia tampak lebih meyakinkan dengan cubaan bahaya sesekali menembusi kubu Chelsea selepas ramai pemain muda dari skuad Olimpik negara diturunkan.

Walaupun Chelsea menurunkan pemain bintang mereka di separuh masa kedua, namun pemain muda negara tampak yakin dan sesekali melepasi kubu Chelsea dengan cubaan bahaya.

Pasukan negara mendapat peluang terbaik untuk menghasilkan jaringan pada minit ke-64, apabila gerakan solo Syahrul Azwari yang bertukar-tukar hantaran dengan A. Tamil Arasu memberi ruang kepada Syahrul untuk menguji penjaga gol Chelsea, Hilario namun bola itu tinggi tersasar.

Di minit-minit akhir perlawanan, anak-anak buah Ong Kim Swee itu mendapat peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan apabila Tamil Arasu yang langsung tidak dikawal melepaskan rembatan yang tersasar jauh dari gawang Chelsea. Keputusan 1-0 kekal hingga wisel penamat dibunyikan oleh pengadil, Subki Din.

Penjaga gol negara, Farizal Marlias harus dipuji kerana bertindak cemerlang menjaga gawang daripada ditembusi penyerang Chelsea dengan banyak cubaan bahaya dilakukan.

Sepatutnya, pemain muda harus diberi peluang sepenuh masa oleh Ong Kim Swee bertemu Chelsea kerana mereka dilihat serasi untuk melakukan cubaan ke arah kubu Chelsea. Perlawanan persahabatan ini harus diambil peluang oleh Ong sebagai tempat pemain muda menimba pengalaman kerana kita bukan mahukan kemenangan tetapi mahukan pengalaman.

Buat pemain senior yang rata-rata kelihatan kurang menyerlah dilihat menyekat ruang pemain muda untuk beraksi sepenuh masa untuk pengalaman beraksi dengan pemain bintang.

p/s: Kalau nak pilih juga pemain senior atau berpengalaman tu, janganlah sampai pilih yang sudah tiada kudrat sangat. Carilah yang betul-betul ada tenaga yang boleh memberi saingan kepada Chelsea.Sekadar pandangan penulis sahaja.
Dikuasakan oleh Blogger.