Header Ads

Pelakon Irma Hasmie lebih tenang dengan imej bertudung

Selepas pulang daripada mengerjakan Umrah pada Februari lalu, pelakon jelita, Irma Hasmie, mengambil keputusan untuk bertudung. Kehidupannya banyak berubah dan lebih tenang berbanding dulu. Malah rezekinya dalam bidang seni semakin bertambah baik.


CANTIK pun bertudung tapi mintak terus istiqomah ler. Kalau dapat labuh sikit lagi cantik tau...
“Alhamdulillah, berkat keikhlasan mengubah imej, rezeki masih tidak putus. Saya rasa tawaran masih ‘kencang’ seperti dulu dan peminat juga tidak putus-putus beri sokongan.

“Saya masih mendapat undangan mengacara dan yang terkini sedang menjalani penggambaran drama Psikik (RTM) dan Kasih Aliya (TV3) sempena Ramadan ini,” kata duta tudung D’Haja ini.

Malah, Irma yang juga duta dan jurucakap bagi produk Walit Gold masih terbuka menerima apa sahaja watak yang diberikan asalkan dia dibenarkan bertudung dan menutup aurat.

Pelakon yang mencari rezeki di tempat kelahiran sendiri ini juga katanya sedang sibuk memenuhi undangan untuk menggayakan pakaian muslimah serta rekaan tudung terkini.

“Dalam bidang pengacaraan pula, saya mendapat peluang memperluaskan lagi bidang kerjaya ini di stesen TV Alhijrah. saya bersyukur dengan rezeki yang Allah beri,” jelasnya.


Hati belum terbuka

Mengaku masih ‘single’ setakat ini, Irma Hasmie yang semakin ayu dengan penampilan Muslimah mahu mengekalkan imej itu seiring dengan perjalanan kariernya.

Nekad enggan melayan sebarang gosip yang mengaitkan dia dengan mana-mana jejaka, Irma lebih bijak menyusun atur bicara bagi mengelakkan diri dari menghiasi dada akhbar dengan kontroversi kisah cinta yang dia sendiri tidak pernah mengakuinya.

Wanita berusia 29 tahun ini juga memberitahu hanya mahu memikirkan mengenai kerjaya sahaja buat masa ini.

“Biarlah apa orang hendak kata, kalau dilayan makin menjadi. Hanya saya dan keluarga saja yang tahu kebenaran tentang sesuatu gosip yang dikaitkan.

“Jangan risau, jika ada calonnya, mungkin saya tidak akan merahsiakannya sekiranya ia hubungan yang serius,” katanya yang pernah menjalinkan hubungan cinta dengan Nabil Raja Lawak.


Berdakwah secara sambilan

Biarpun sibuk dengan jadual kariernya, Irma juga nampaknya sedang berjinak-jinak dalam dunia perniagaan melalui jenama LuvJubah yang dihasilkan bersama pereka tempatan.

Katanya, bakatnya cuba dikembangkan lagi dengan percubaan itu bagi tujuan beribadah dan berdakwah apabila dapat menghasilkan pakaian Muslimah.

“Secara tidak langsung saya juga bakal berdakwah melalui sebuah program realiti yang mencari pendakwah wanita. Saya sendiri akan mengacarakan program bertajuk ‘Solehah’ di TV Alhijrah itu nanti,” katanya.

Sekalipun rezekinya lebih berpihak kepada bidang pengacaraan, Irma tidak akan melupakan bidang lakonannya. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.