Header Ads

Pemberontak Libya menerima bantuan RM303 juta dari penderma asing

LONDON: Setiausaha Luar Britain, William Hague menyatakan para pemberontak Libya menerima sumbangan wang daripada para penderma asing untuk membayar gaji kakitangan sektor awam di kawasan-kawasan yang dikuasai mereka.


Rekrut baru melatih menggunakan senjata selepas mendaftar untuk menyertai pasukan pemberontak di pangkalan latihan di Misrata, Libya. | foto AP
Hague memberitahu ahli-ahli Parlimen Britain semalam bahawa sumbangan pertama berjumlah AS$100 juta (RM303 juta) telah disalurkan kepada kepimpinan pemberontak Majlis Peralihan Nasional (TNC) di Libya.

TNC menyatakan wang itu akan digunakan untuk membayar gaji para guru, tukang sapu dan pekerja lain yang memberikan perkhidmatan yang penting.

Sumbangan wang berkenaan akan turut digunakan untuk membeli petrol dan diesel.

Pada satu pertemuan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam awal bulan ini, para penderma berjanji akan menyalurkan bantuan lebih AS$1.3 bilion (RM3.9 bilion) untuk membantu pihak pemberontak Libya.

Sementara itu, sejumlah wanita termasuk nenek menjalani latihan menggunakan senjata api termasuk pelancar roket di Bani Walid, 200 kilometer ke tenggara Tripoli.

Wanita-wanita itu merupakan penyokong kuat pemimpin Muammar Gaddafi yang kini berdepan tentangan daripada pemberontak yang mahu menyingkirkannya sejak Februari lalu. -Agensi
Dikuasakan oleh Blogger.