Header Ads

Pemimpin Umno-BN layan rakyat seperti komunis

WarkahDaily – Wajah sebenar pemimpin Umno-BN semakin terserlah apabila bertindak melulu tanpa berpegang dengan prinsip keluhuran perlembagaan yang selama ini dijunjung tinggi namun rakyat dilayan seperti komunis yang bergerak di hutan.


Shamsul Amri Baharuddin (kiri) ketika sesi dialog pada majlis pelancaran kajian bertemakan ‘Nilai, Impian dan Ideal: Belia Muslim di Asia Tenggara’ di Bangi Isnin lepas. Bersama beliau ialah Ibrahim Suffian (paling kanan). | foto The Malaysian Insider
Bak kata profesor yang dulunya mesra dengan Umno, Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin yang mengklasifikasikan cara pemimpin Umno-BN menangani kebangkitan rakyat dengan cara komunis dan masih lagi menggunakan taktik era Perang Dingin.

The Malaysian Insider dipetik, profesor Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata, musuh Barisan Nasional (BN) bukan lagi komunis yang bergerak dari hutan, tetapi pergerakan madani yang mempunyai kesedaran politik yang meningkat.

“Saya mengatakan poin bahawa perikatan yang memerintah masih berurusan menggunakan cara traditional, yang menggunakan konsep Perang Dingin, kita bukan berurusan dengan komunis,” kata beliau.

Oleh itu kata beliau, pentadbiran Najib perlu beralih daripada pendekatan tradisional kepada bukan traditional, yang menurutnya mempunyai lima komponen iaitu tenaga atau kuasa, air, makanan, kesihatan dn pendidikan.

“Kesemua lima komponen bersepadu antara satu sama lain... ini yang diabaikan, bukan lagi soal sekuriti tradisional,” kata Shamsul Amri ketika ditemui selepas majlis pelancaran kajian bertemakan “Nilai, Impian dan Ideal: Belia Muslim di Asia Tenggara” dikendalikan bersama oleh Merdeka Center, Universiti Kebangsaan Malaysia, Goethe Institut Malaysia dan Friedrich Naumann Foundation for Freedom di Bangi Isnin lepas.

Susulan Bersih pertama tahun 2007, perhimpunan Bersih 2.0 diadakan di ibu negara di sebalik tahap keselamatan ketat.

Penganjur Bersih 2.0 mendakwa telah dapat menghimpunkan 50,000 orang, tetapi angka ini dinafikan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang mengatakan hanya sekitar 6,000.

Seminggu sebelum itu Putrajaya mengisytiharkan Bersih 2.0 yang dianggotai 62 pertubuhan bukan kerajaan sebagai satu badan haram manakala segala lambang dan barang terbitan membawa mesej Bersih 2.0 juga diumumkan sebagai haram.

Berkaitan dengan perhimpunan ini juga lima pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput ditahan di bawah Ordinan Darurat atas dakwaan cuba menghidupkan kembali fahaman komunis.

Shamsul Amri, yang terkenal sebagai penganalisis politik di lokal dan global diajukan soalan mengenai cara kerajaan khususnya pihak berkuasa polis menangani perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara Sabtu lalu.

Dalam pandangannya, Shamsul Amri, ahli akademi jurusan sosiologi dan pengasas Institut Kajian Etnik berkata, isu-isu yang dibawa oleh Bersih 2.0 adalah sesuatu yang munasabah.

“Isu-isu yang diketengahkan oleh Bersih 2.0 adalah isu-isu yang sah dalam Perlembagaan Persekutuan, dan ini isu-isu yang berterusan, dari segi kebebasan berhimpun dan bersuara.

“Ia satu perkara yang berterusan dan ia tidak akan berakhir di sini,” kata beliau lagi.

Malangnya kata beliau, kerajaan yang memerintah ketinggalan zaman dan sangat perlahan dalam memberikan respons kepada isu-isu yang wujud.

“Mereka sudah begitu biasa dengan respons ketika zaman Perang Dingin,” kata beliau.

Katanya, jika anda meneliti manual latihan sama ada polis ataupun tentera, ia sama seperti yang digunakan ketika era darurat.

Dalam komennya beliau juga mempersoalkan pendirian pasukan keselamatan menangani perhimpunan aman.

“Apabila publik mengadakan demonstrasi di depan Kedutaan Amerika Syarikat sebelum ini, mengenai isu Palestin, adakah polis datang? Tidak. Jadi, mengapa mereka datang sekarang (Sabtu lalu)?” kata beliau.

Mengenai tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin bahagian dan pertubuhan bukan kerajaan semalam, kata beliau, mereka bertindak cepat kali ini.

“Beliau (Najib) akan lebih banyak melakukan perkara ini,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai kelahiran ikon-ikon baru ekoran perhimpunan Bersih 2.0 seperti Datuk Ambiga Sreenevasan dan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Shamsul Amri berkata: “Ikon adalah ikon.”

“Mereka tidak memberi kesan ke atas perubahan kecuali mereka bertanding dalam pilihan raya dan menang... Datuk Ambiga tanding di Kuala Lumpur,” katanya.

“Pada akhirnya, ia berkenaan dengan menterjemahkan dalam bentuk undi,” kata beliau menjawab soalan sama ada perhimpunan Bersih 2.0 akan memberi kesan ke atas keputusan pilihan raya umum ke-13 kelak sebagaimana disaksikan pada 2007/2008.

Pilihan raya umum ke-12 2008 diadakan beberapa bulan selepas Bersih 2007.

Sehubungan itu Shamsul Amri juga berkata, trend pengundian negara ini akan dipengaruhi oleh corak kempen dalam tempoh berkempen.

Beliau juga mengakui bahawa mesej yang diperoleh daripada perhimpunan Bersih 2.0 ialah kesedaran publik bahawa mereka berkuasa dalam menentukan arah aliran pembaharuan dalam kerajaan.

“Bagi mereka, saya boleh mengundi untuk memilih siapa saya mahukan. Sekarang saya boleh mengatakan apa saya mahukan?” katanya.

“Persoalan di sini ialah sama ada terdapat ruang publik untuk saya melakukan yang ini,” katanya lagi sambil menambah, “jawapanya ialah ya dan tidak.”

“Mereka boleh melakukan, tetapi bukan di jalan raya, tetapi di kawasan lain,” jelas beliau yang turut meramalkan bahawa akan ada lebih banyak perhimpunan dan perarakan seperti yang disaksikan Sabtu lalu.

“Ini bukan yang terakhir. Ini bukan tentang soal bangkangan. Orang ramai sudah mula berani, tetapi juga rasional dan munasabah,” kata beliau.
Dikuasakan oleh Blogger.