Header Ads

Penyelewengan SPR bakal dibongkar

WarkahDaily – Kecelaruan dan penyelewengan suruhanjaya pilihanraya (SPR) berkaitan daftar pemilih akan dibongkarkan secara besar-besaran dalam tempoh beberapa minggu ini.

Usaha itu akan dilakukan oleh PAS Pusat selepas ianya diputuskan dalam mesyuarat khasnya Selasa lepas.

PAS turut menugaskan beberapa pakar dalam IT bagi menjalankan tugas pembongkaran berkenaan selepas berjaya mengesan kecelaruan dan penyelewengan daftar pemilih dari dahulu lagi namun SPR tidak pernah mengakuinya. Walaubagaimana pun, baru-baru ini, SPR mengakui wujudnya pengundi hantu dalam daftar pemilih.

Dipetik dari Harakahdaily, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris berkata, sehingga kini sekurang-kurangnya 17,000 nama pemilih dikenal pasti berada dalam daftar pemilih di dua tempat mengundi berasingan di seluruh negara.

“Bayangkan tuan-tuan 17,000 pengundi ini ianya jumlah yang besar dan kita sedang mengenalpastikan nama-nama pemilih yang lain sekarang ini.

“Semua ini adalah kelemahan dan penyelewengan yang mesti dipertanggungjawabkan kepada SPR sebagai badan yang bertanggungjawab kepada pengurusan dan pengedalian pilihanraya di negara kita,” katanya Idris dalam satu ceramah di pejabat PAS kawasan Bukit Katil baru-baru ini.

Menurut Idris lagi, PAS bakal mengadakan seminar antarabangsa bagi membongkarkan penipuan yang dilakukan SPR setelah semua data diperolehi dalam masa terdekat.

“Kita mempunyai ramai pakar-pakar IT dan kita mempunyai sistem yang canggih dan berkesan untuk mengenalpasti penipuan dan penyelewengan dalam daftar pemilih.

“SPR tidak boleh berdolak dalik lagi dalam hal ini, jika bukan mereka siapa yang lagi yang melakukan kemungkaran dan penipuan dalam daftar pemilih ini,” tegas Idris lagi.
Dikuasakan oleh Blogger.