Header Ads

Polis sengaja susahkan pengguna jalanraya sebagai gambaran BERSIH menyusahkan

WarkahDaily – Beberapa hari ini, akhbar arus perdana kurang melaporkan kegiatan jenayah dan tangkapan polis terhadap penjenayah. Sebelum BERSIH 2.0 dihebohkan, kita sering sahaja dipaparkan bermacam-macam isu jenayah yang melibatkan bunuh, merompak, rogol, pecah rumah dan sebagainya. Namun kini ia semacam kegiatan itu tiada berlaku.


Sengaja menyusahkan pengguna jalanraya untuk memburukkan Himpunan BERSIH.
Yang ada hanyalah berita tangkapan aktivis yang terlibat dengan penjualan t-shirt kuning BERSIH 2.0 dan membuat rampasan senjata konon dari pihak aktivis BERSIH 2.0. Baca sini.

Apakah polis bercuti buat sementara waktu membicarakan perihal jenayah pecah rumah, rompakan, dadah dan sebagainya semata-mata mahu memberi tumpuan terhadap arahan pemimpin Umno agar menyekat aktivis BERSIH 2.0.

Sudah terbayang di fikiran kita, polis negara ini sekadar menjadi perisai kepada kerajaan Umno-BN yang tengah bimbang hilang kuasa kerana berhadapan kebangkitan rakyat yang sudah muak dengan mereka.

Akhbar rasmi Umno, Utusan Malaysia selalu siarkan kekuatan polis dan tentera sambil menyelit perhimpunan ahli silat yang kononnya siap-siaga untuk menyekat aktivis BERSIH daripada berhimpun. Bongkaknya mereka!

Polis dilaporkan dikerah dari seluruh negara untuk menghadapi aktivis dan rakyat yang cuba menuntut pilihanraya bersih dari suruhanjaya pilihanraya (SPR) dengan bermacam-macam sekatan dan tangkapan yang menyalahi perlembagaan negara.

Walaupun Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong meminta permasalahan itu diselesai dengan cara rundingan dan kerajaan patut berlaku adil dan saksama dalam menyelesaikan masalah itu, namun dengan bongkak dan sombong, ada pemimpin Umno yang berstatus menteri cuba menderhakai titah tuanku dengan tidak berganjak untuk menghalang kebangkitan rakyat menuntut hak mereka untuk pilihanraya yang telus dan bersih. Pihak polis pula mengenepikan nasihat tuanku dengan terus menutup pintu rundingan dengan rakyat.

Kini, pihak polis pula cuba menggambarkan aktiviti Himpunan BERSIH itu menyusahkan dan memberi kesulitan kepada orang awam.

Padahal ini semua sekadar permainan kotor dan jahat untuk menghalang Himpunan BERSIH 2.0.

Kesusahan dan kesulitan yang dihadapi orang awam berpunca dari tindakan sengaja pihak polis yang sengaja mencari kerja yang pada asalnya tidak menyukarkan orang ramai tetapi kerana mahu menjaga kuasa sang pemerintah zalim, mereka cuba menyusahkan orang ramai dengan mengadakan sekatan jalan raya bagi menyukarkan pengguna jalanraya bergerak. Niat asal mereka mahu menuduh ianya berpunca daripada BERSIH.

Buat apa susah-susah buat sekatan jalanraya, bukannya mereka (BERSIH) mahu memberontak. Mereka mahu berkumpul secara aman dan mahu mendesak SPR agar dengar rintihan mereka terhadap pilihanraya bersih. Yang menyukarkan benda yang senang ni adalah pemimpin Umno dan barua-barua mereka yang gelabah dengan kebangkitan rakyat.

Sekatan jalanraya diadakan konon mengambil langkah awal bagi mencegah tindakan ‘menyeludup’ masuk senjata ke ibu negara menjelang perhimpunan Sabtu ini. Apa drama yang kamu bikin ini wahai polis? Bukannya rakyat tak tahu, itu semua taktik untuk menakut-nakutkan rakyat.

Itu sekadar alasan kamu untuk mempertahankan tindakan kejam kamu dan cuba memberi perlindungan kepada pemimpin Umno-BN mempertahankan kuasa mereka.

Usah bodohkan rakyat negara ini dengan alasan tak masuk akal. Kamu hanya hebat berhadapan dengan rakyat tetapi lemah dengan penjenayah sebenar yang merompak harta benda rakyat dan mengkhianati amanah rakyat.
Dikuasakan oleh Blogger.