Header Ads

PRU-13 bakal dipantau badan bebas luar negara

WarkahDaily – Pemantau luar negara memang dah lama dah nak datang tinjau keadaan Pilihanraya Umum (PRU) dalam negara ini, namun kerana kerajaan Umno-BN bimbang helah mereka lakukan selama ini terbongkar, maka disekat dan dihalang sesiapa sahaja yang mahu memerhati perjalanan PRU. Cuma sekali pada PRU tahun 1990 selepas berlaku perpecahan dalam Umno.

Macam biasalah, kalau ditanya kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), jawabnya senang, pilihanraya di negara ini amat telus dan bersih. Jika tak telus dan bersih, sudah tentu Pakatan Rakyat (PR) tak akan menang di lima buah negeri dalam PRU-12 yang lepas.

Tapi mereka ini tak ambil tahu bagaimana PR terpaksa berhadapan dengan jentera kerajaan dan bukannya parti untuk mendapat kemenangan. Dalam keadaan semua media dikongkong, permit ceramah ditahan, tempoh kempen yang pendek dan macam-macam bentuk rasuah dalam pilihanraya dilakukan, SPR tidak pula memikirkan itu semua.

SPR tidak pula mengambil peduli bagaimana kepayahan PR untuk dapatkan kemenangan di beberapa negeri itu yang terpaksa berhadapan bermacam-macam jentera kerajaan yang digunakan Umno-BN yang tidak sepatutnya berlaku.

PR menang pun sebabnya Umno-BN dah tak tahu nak buat macamana dah untuk elak kemenangan PR. Bagi PR, ketelusan bukan sekadar untuk dua atau tiga buah negeri sahaja, tetapi yang lebih penting, bebas dan telus di peringkat parlimen lagi.

Banyak perubahan pelaksanaan pilihanraya yang dilakukan SPR tidak diberitahu lebih awal kepada wakil PR, secara tiba-tiba ada perubahan. Kempen parti kerajaan yang mempunyai unsur rasuah tidak pula diambil peduli. Wang yang ditabur dalam setiap pilihanraya bagaikan mendapat kebenaran oleh SPR, padahal ia menyalahi akta pilihanraya.

Diplomat Kesatuan Eropah (EU) timbang hantar pemerhati

SPR diminta diplomat Kesatuan Eropah (EU) untuk memberi maklumat berkaitan perjalanan pilihanraya di Malaysia baru-baru ini.

Para diplomat yang hadir kelihatan tidak berpuas hati dengan penjelasan yang dibuat oleh pihak SPR yang diwakili oleh pengerusinya sendiri, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Mereka meluahkan rasa kurang yakin terhadap kedudukan suruhanjaya itu sebagai sebuah badan berkecuali dan bebas apabila Tan Sri Abdul Aziz yang mewakili SPR dilaporkan terus mengaitkan SPR sebagai sebahagian daripada kerajaan (kerajaan BN). Keadaan itu menjelaskan SPR mempunyai kepentingan bersama dengan kerajaan (BN).

“Mereka tidak berwibawa. Abdul Aziz asyik mengulangi ‘kami’ dan ‘kita’ dalam kerajaan ketika taklimat,” kata seorang diplomat EU kepada The Malaysian Insider.

Abdul Aziz merupakan bekas ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri sebelum dilantik mengetuai SPR bermula 31 Disember 2008 selepas kontraknya berakhir.

Seorang diplomat dari satu lagi negara EU mengesahkan taklimat itu dan rumusan yang mereka putuskan.

“(Langkah) itu sensitif tetapi kami sedang memikirkan untuk mengesyorkan pasukan pemerhati agar boleh memantau pilihan raya umum akan datang,” kata beliau dengan merujuk kepada misi pemantau Komanwel yang datang ketika pilihan raya umum 1990.

Pilihan raya umum 1990 merupakan yang pertama sejak krisis Umno 1986/1987 dan turut membawa kepada penubuhan Parti Melayu Semangat 46 (S46) pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah dan kewujudan perikatan pembangkang.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menjemput pasukan pemantau sejak itu dan enggan mendedahkan kepada umum laporan misi itu.

Terdapat beberapa badan pemantau pilihan raya tempatan tetapi menerima kerjasama yang kecil daripada SPR.

Dipetik dari TVS News, seorang diplomat berkata mereka juga telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Bersih 2.0 untuk mendapatkan taklimat mengenai lapan tuntutan mereka.

“Kami ada satu taklimat yang diberikan oleh pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan mengenai perjuangan mereka,” katanya tetapi enggan memberi butiran spesifik mengenai hasil pertemuan itu.

Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan pada 9 Julai lalu berkaitan lapan tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya.

Walaupun dihalang dan disekat pihak berkuasa termasuk memutuskan Bersih 2.0 sebagai sebuah pertubuhan haram, penganjur mendakwa telah berjaya menghimpunkan 50,000 orang. Tetapi polis menafikan jumlah itu dengan berkata hanya 6,000 orang hadir.
Dikuasakan oleh Blogger.