Header Ads

Rumah, kereta pemimpin Pas disimbah cat

Beberapa buah rumah dan kereta pemimpin serta pusat khidmat wakil rakyat PAS termasuk rumah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak disimbah dengan cat dalam beberapa kejadian malam semalam dan awal pagi ini.

Selain itu, sebahagian daripada mereka juga menerima nota ugutan yang dibungkus dengan batu supaya tidak menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Dalam kejadian itu, selain rumah Azizan di Sungai Limau, Yan, kereta ahli parlimen Pendang Dr Hayati Othman dan Setiausaha PAS Kawasan Alor Setar Adnan Saad disimbah dengan cat merah manakala rumah yang terlibat adalah milik Ketua Penerangan PAS Kuala Kedah Ridzuan Abu Bakar dan Anggota Jawatankuasa (AJK) Pemuda PAS Kuala Kedah Mohd Radi Said.

Turut disimbah cat merah adalah Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri Kubang Rotan Mohd Nasir Mustafa.

Azizan berkata laporan polis telah dibuat berkaitan kejadian-kejadian itu dan berharap polis dapat melakukan siasatan segera.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai tindakan budak-budak nakal yang cuba menimbulkan kontroversi.

"Polis dah pergi tengok. Biarkan polis menjalan tugas mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Alor Setar, hari ini. -Bernama

Dipetik dari Malaysiakini.com
Dikuasakan oleh Blogger.