Header Ads

Takaful Ikhlas sasar pendapatan premium insurans takaful sebanyak RM900 juta

Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful Ikhlas) menyasarkan pendapatan premium insurans takaful sebanyak RM900 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2012 berbanding RM760 juta yang direkodkan tahun sebelumnya sejajar dengan pertumbuhan ekonomi semakin baik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, syarikat juga akan terus menembusi pasaran bukan motor dan bukan Islam kerana ketika ini daripada 30 peratus segmen takaful am, perniagaan motor menyumbang kira-kira 70 peratus manakala bukan motor hanya 30 peratus.

“Sasaran itu didorong pelbagai aspek produk insurans dan kami perlu meningkatkan kategori di segmen pasaran insurans bermotor termasuk perlindungan kediaman, kebakaran dan bencana alam,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kemudahan pengiktirafan program latihan di antara Takaful Ikhlas dan Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) di Kuala Lumpur, semalam.

Syarikat itu juga sentiasa membuka peluang menambah bilangan ejen perniagaan produk insuransnya dan kini mempunyai lebih 6,000 wakil ejen di seluruh negara dengan menawarkan lebih 40 pelan perlindungan kewangan berlandaskan syariah.

“Secara anggaran kasar, kami mempunyai 1.8 juta pemegang sijil insurans Takaful Ikhlas, tujuh peratus atau kira-kira 110,000 orang adalah bukan Islam, sekali gus membuktikan produk berkenaan yang berlandaskan syariah turut menjadi pilihan masyarakat bukan Islam,” katanya. -HMetro
Dikuasakan oleh Blogger.