Header Ads

Tarikh baharui lesen ikut hari jadi belum muktamad

Pembaharuan lesen memandu mengikut tarikh lahir pemegang lesen dijangka dapat dilaksanakan tidak lama lagi, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Kong (gambar), yang tidak meletakkan sebarang tarikh tertentu bagi pelaksanaannya, berkata bahagian teknologi maklumat kementerian itu sedang giat melakukan beberapa penyelarasan.

Mengikut laporan Bernama Online, beliau meminta orang ramai tidak berebut-rebut untuk memperbaharui lesen memandu mereka apabila tarikh tamat lesen diselaraskan dengan tarikh lahir mereka kelak.

“Mereka hanya perlu memperbaharui lesen memandu mereka apabila lesen memandu tamat tempoh dan bukannya apabila tarikh lahir mereka tiba,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, mereka yang akan menyambut hari lahir pada Mei tahun depan tetapi lesen memandu akan tamat tempoh sah laku pada Januari, mereka perlu memperbaharui lesen pada Januari tetapi tarikh tamat lesen akan diletakkan pada Mei.

“Tempoh empat bulan yang diberikan itu adalah percuma. Bayaran hanya dikenakan RM30 jika ingin memperbaharui lesen untuk tempoh setahun,” katanya.

Bagi mereka yang tarikh lahirnya melebihi enam bulan dari tarikh lesen memandu tamat tempoh pula mereka akan dikenakan bayaran tambahan 50 peratus iaitu RM15.

Berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan, terdapat 2.2 juta daripada 11.8 juta pemegang lesen tidak aktif atau tidak memperbaharui lesen memandu mereka.

“Kebanyakan pemandu memberikan alasan sukar mengingati tarikh tamat tempoh lesen memandu masing-masing khususnya yang memperbaharui bagi tempoh yang panjang iaitu tiga hingga lima tahun.

“Pemegang lesen memandu dalam cip MyKad yang tidak dipaparkan maklumat tarikh tamat pada permukaan MyKad turut menyebabkan pemandu sering memandu semasa lesen sudah tamat tempoh dan akhirnya dikenakan tindakan saman,” katanya.

Kong berkata langkah itu tidak akan memberi orang ramai alasan untuk tidak mengingati tarikh memperbaharui lesen memandu mereka.

“Anda pasti tidak akan lupa tarikh lahir anda sendiri,” katanya.

Rekod JPJ juga menunjukkan, trend memperbaharui lesen memandu ialah 47 peratus (2.7 juta orang) memperbaharui untuk tempoh setahun; 31 peratus (1.8 juta orang) tempoh dua tahun; 18 peratus (1.1 juta) bagi tempoh tiga tahun, dan lima peratus atau 265,264 orang bagi tempoh lima tahun. -The Malaysian Insider
Dikuasakan oleh Blogger.