Header Ads

Terkini: Aksi pertahanan Harimau Malaya mengecewakan

Malaysia masih berpeluang untuk melangkah ke pusingan Piala Dunia seterusnya walaupun tewas 5-3 kepada Singapura dalam aksi yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura.


Safee Sali (kiri) diasak pemain Singapura dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia Peringkat Asia menentang pasukan Singapura di Stadium Jalan Besar, Singapura.
Malaysia bermula dengan garang apabila Safee Sali menjaringkan gol pertama seawal minit pertama. Walaupun tendangan pertamanya berjaya dihalang, Safee memastikan sepakan susulannya menerjah jaring Singapura.

Singapura bagaimanapun pantas bertindak balas apabila Qiu Li berjaya memperdayakan Sharbinee Allawee menerusi sepakan percumanya pada minit ketujuh untuk gol penyamaan pasukan tuan rumah.

Qiu Li sekali lagi muncul sebagai duri dalam daging Malaysia apabila sepakan percumanya, mirip gol Safiq Rahim ketika menentang Liverpool, berjaya menembusi gawang Malaysia untuk gol kedua Singapura pada minit ke-22.

Mustafic Hairudin menjaringkan gol ketiga Singapura pada minit ke-43 manakala gol keempat menyusul beberapa minit kemudian pada masa kecederaan.

Pada babak kedua, aksi bertambah hangat apabila kapten negara Safiq Rahim diperintahkan keluar padang pada minit ke-53 setelah mengasari pemain Singapura namun defisit pemain itu kembali seimbang apabila bek kanan Singapura Ismail Yunos mengutip kad kuning kedua kerana menjatuhkan S. Kunanlan.

Singapura yang agak tersentak dengan kehilangan pemain tersebut semakin tertekan apabila Malaysia mengutip dua gol pantas menerusi Abdul Hadi, yang masuk sebagai pemain gantian, dan Safee yang menambah gol kedua peribadinya.

Harimau Malaya semakin bersemangat setelah merapatkan jurang tersebut namun barisan pertahanan negara yang diketuai Muslim Ahmad terus mengecewakan para penyokong Malaysia yang memenuhi stadium apabila memberi ruang kepada Singapura untuk menambah jumlah jaringan.

K. Rajagobal kini berdepan tugas berat untuk memastikan skuadnya mencatatkan sekurang-kurangnya kemenangan 2-0 dalam pusingan kedua di Stadium Bukit Jalil pada 28 Julai nanti setelah membawa bekalan tiga gol di tempat lawan. -Arena.my

Berkaitan:
Dikuasakan oleh Blogger.