Header Ads

[Video] Malaysia kalah kepada Arsenal

Dapatkan video highlight perlawanan di bawah posting ini.

WarkahDaily – Kenyataan yang perlu ditelan anak-anak buah Datuk Rajagopal, Malaysia dibelasah pasukan elit Liga Inggeris, Arsenal 0-4 di Stadium Bukit Jalil awal malam tadi (Rabu, 13 Julai 2011) dalam aksi persahabatan antarabangsa jelajah Asia Arsenal 2011.


Mohd Amirulhadi Zainal (tengah) diasak dua pertahanan Arsenal menyukarkan pergerakannya bagi menembusi kubu lawan. | foto PA
Standard permainan skuad Rajagopal jauh berbeza berbanding Arsenal dari segi taktikal dan hantaran bola yang tidak tepat sehingga menyebabkan kubu Malaysia dihukum lebih awal.

Gol pertama Arsenal dijaringkan oleh Aaron Ramsey di minit ke-5 melalui tendangan penalti selepas pemain Arsenal dijatuhkan pertahanan Malaysia.

Kealpaan dan larian perlahan pemain kebangsaan terus diambil kesempatan pemain Arsenal apabila Theo Walcott melakukan lambungan tinggi menperdayakan penjaga gol Malaysia, Mohd Nasril Mat Nourdin untuk gol kedua Arsenal di minit ke-37.

Status sebagai penjaga gol ketiga negara yang diberi peluang Rajagopal untuk bermain di separuh masa pertama nampaknya tidak memberi momentum bagus buat Nasril untuk beraksi cemerlang sehingga memaksa Rajagopal mengeluarkan beliau dengan diganti penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat di separuh masa kedua.

Sesekali skuad kebangsaan cuba memasuki kubu Arsenal namun ia begitu mudah dipatahkan pertahanan anak buah Wenger sehingga Malaysia mendapat satu peluang cantik menerusi tendangan percuma jarak jauh melalui kaptennya Safiq Rahim.

Di separuh masa kedua, Arsenal ternyata lebih garang apabila terus mengasak kubu Malaysia tanpa belas kasihan dan berjaya menghasil gol ketiganya di minit ke-58 melalui Carlos Vela selepas tiga minit separuh masa kedua bermula.

Kemasukan Mohamad Ashaari Shamsudin menggantikan Safiq di minit ke-74 tampak sedikit bernafas buat skuad Harimau Malaya namun nasib tidak menyebelahi Malaysia akibat kekentalan pertahanan Arsenal menafikan sedikit peluang yang terhidang buat Malaysia.

Kekerapan melakukan kesilapan mudah membuatkan skuad kebangsaan terus dihukum lagi apabila Arsenal menambah duka skuad Rajagopal di minit-90 untuk gol keempat melalui tandukan Thomas Rosicky.

Jelas sekali, skuad Harimau Malaya belum mampu menandingi kehebatan gergasi England itu yang penuh dengan taktikal berkualiti dan permainan bersahaja yang kemas.

Lautan merah para penyokong jelas tampak menyebelahi Arsenal walaupun bermain di Malaysia. Fenomena ini memperlihatkan penyokong di laman sendiri masih tidak yakin dengan kebolehan skuad negara sendiri dan lebih berbangga dengan pasukan luar dan perkara ini amat berbeza sekali di negara lain.

Bagi skuad Rajagopal, diharap dapat belajar dari pengalaman sebelum meneruskan misi yang lebih penting dalam aksi pusingan kedua Piala Dunia menentang Singapura nanti.


Dikuasakan oleh Blogger.