Header Ads

Bila kuasa dah hilang baru nak sedar dengan isu murtad, 50 tahun memerintah dulu Umno buat apa?

WarkahDaily – ‘Tepuk dada Tanya iman’. Betapa pendirian Umno berkaitan isu murtad yang kini begitu sensitif selepas ianya dipolitikkan semata-mata mahu meraih undi Melayu dan Islam. Kita boleh sedar, ikhlas atau tidak makhluk yang bernama Umno ni bila hanya mengambil berat pasal isu murtad bila kuasa dah hilang tapi ketika 50 tahun lebih memerintah, langsung ianya tidak dipandang.

Bukan tiada orang yang tidak tegur atau tidak memberi nasihat. Bahkan ianya datang dari mufti Perak sendiri yang disanjung Umno. Rakyat belum lupa bagaimana Tan Sri Harussani pernah membongkarkan berates-ratus ribu umat Melayu Islam telah murtad.

Apa tindakan pemimpin Umno ketika itu, mana akhbar pro Umno pergi, mana NGO pro Umno sembunyi? Tapi sekarang, bila kuasa dah hilang dan Putrajaya dikatakan bakal dimiliki Pakatan Rakyat (PR) selepas pilihanraya umum (PRU) ke-13 nanti, barulah pemimpin Umno dan baruanya yang terdiri daripada akhbar arus perdana dan blogger upahan Umno terngadah.

Pandai pulak kini mereka sibuk mengambil tempat membela Islam konon Islam ditindas dan tidak diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan negeri PR sehingga Islam diperlekeh dan orang Melayu mudah untuk murtad.

Dipetik dari Harakahdaily, Ketua Penerangan Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus ditempelak oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) apabila menuduh pihak Pakatan Rakyat Selangor tidak berupaya untuk menjaga aqidah ummat Islam daripada dimurtadkan oleh pihak Kristian.

“Beliau mengaitkan dengan tiadanya tindakan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama di atas isu yang berlaku baru-baru ini semata-mata Pakatan Rakyat amat memerlukan undi orang Kristian,” ujar Ketua DPPNS, Hasbullah Mohd Ridzwan dalam satu kenyataan.

Katanya, setelah 50 tahun lebih Umno BN memerintah Selangor dan kini setelah kehilangan kuasa barulah Umno BN sedar kerosakan yang telah mereka lakukan terhadap agama Islam yang menyebabkan ramai orang Islam yang susah terpaksa merempat, mengemis dan terpaksa menjual agama semata-mata untuk meneruskan kehidupan mereka.

Menurutnya, Umno BN cuba untuk meraih kepentingan politik semata-mata daripada isu itu tanpa ada kesedaran untuk membanteras jenayah murtad daripada terus berleluasa.

Justeru, ujarnya Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menasihatkan Abdul Shukur supaya tidak cuba untuk menjadi juara di dalam isu itu kerana Umno BNlah yang telah menggalakkan aktiviti-aktiviti yang menjauhkan Ummat Islam daripada pengamalan dan penghayatan agama Islam yang sebenarnya.

“Penerapan budaya hiburan melampau yang menggalakkan pergaulan bebas, pengagungan terhadap budaya hedonism, menghentikan sumbangan per kapita kepada Sekolah Agama Rakyat, menamatkan riwayat tulisan jawi, pengharaman tazkirah di bulan Ramadhan, menyenarai hitam ulamak dan penceramah agama yang tidak selari dengan kerajaan, tragedi pemecatan almarhum Datuk Ishak Baharom sebagai Mufti Selangor kerana mempertahankan Agama Islam adalah antara kezaliman dan penindasan Umno BN terhadap agama Islam yang telah termasuk di dalam lipatan sejarah yang tidak boleh disangkal oleh Abdul Shukur,” katanya.

Beliau menambah, isu penukaran agama ummat Islam tidak akan timbul dalam masa setahun dua, pastinya ia telah berlaku awal sebelum daripada pemerintahan Pakatan Rakyat pada 2008 sepertimana yang telah disebut oleh Mufti Perak, Datuk Seri Dr. Harussani Zakaria pada tahun 2007, telah terdapat hampir 250,000 orang Islam telah menukar agama mereaka.

Selain itu, katanya Abdul Shukur perlu melawat Jabatan Pendaftaran Negara untuk melihat borang-borang penukaran agama ummat Islam yang cukup banyak sepanjang tempoh pemerintahan Umno BN sebelum daripada ini.

Tambahnya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor penuh yakin dan percaya Kerajaan Pakatan Rakyat akan mengambil langkah pendekatan yang cermat dan terbaik di dalam menangani isu itu dan akan sentiasa menjaga kesucian dan kemurnian Agama Islam dan ummat Islam di dalam negeri Selangor daripada di jebak oleh proses Kristianisasi ataupun mana-mana agama sekalipun.

Oleh itu, ujarnya Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor meminta supaya Umno Selangor melakukan persediaan untuk menjawab penglibatan mereka dalam isu pemeriksaan Jais terhadap Gereja Methodist Damansara Utama di mahkamah daripada cuba untuk menjadi ‘hero’ kepada agama Islam.

Dikuasakan oleh Blogger.