Header Ads

DAP desak polis siasat video ‘Sembang Rakyat-Kedai 1Malaysia’

DAP mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat siapakah dalang rakaman video bertajuk ‘Sembang Rakyat – Kedai 1Malaysia’ yang mendakwa parti itu bersekongkol dengan peniaga Cina untuk menaikkan harga barang di negara ini.

Desakan itu dibuat menerusi laporan yang dibuat Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari, di Balai Polis Jalan Bandar, Jalan Tun HS Lee, di sini, semalam.

Zairil berkata, DAP mengecam tindakan menyebarkan klip video terbabit melalui laman Youtube, dipercayai sejak sebulan lalu.

Katanya, kandungan video yang dimuat turun oleh individu menggunakan nama ‘Kawasaki9722’ itu dianggap sebagai fitnah dan penipuan terhadap DAP yang berunsur hasutan serta berniat jahat.

“Video itu mendakwa DAP bersekongkol dengan peniaga terbabit naikkan harga barang untuk timbulkan kemarahan rakyat terhadap Kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Zairil menegaskan bahawa DAP tidak terlibat seperti yang didakwa dalam video itu, sebaliknya menyifatkan perkara itu dilakukan individu yang dibayar pihak tertentu untuk mencemarkan nama parti berkenaan dan ia dikhuatiri mencetuskan sentimen perkauman.

“Justeru, kita minta polis siasat siapa yang terlibat buat video ini dan memuat turun rakaman itu.

“Kita juga akan buat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini (semalam) untuk minta mereka siasat juga perkara ini supaya tiada salah faham berlaku antara kaum,” katanya.

Menurutnya, faktor utama menyebabkan kenaikan harga barang di negara ini adalah pengurangan subsidi minyak, gas dan barang keperluan seperti gula.

“Adalah tidak masuk akal DAP mempunyai pengaruh ke atas peniaga kerana harga barang dikawal Kerajaan Persekutuan yang juga kerajaan BN,” katanya.

Zairil berkata, pihaknya percaya klip video itu adalah rancangan musuh politik DAP dan Pakatan Rakyat yang bertujuan memecahbelahkan rakyat melalui propaganda perkauman sempit.

Berdasarkan kualiti terbitan rakaman video itu, katanya, ia jelas bukan terbitan sembarangan, tetapi dibuat secara profesional dengan peralatan dan peruntukan mencukupi. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.