Header Ads

Dua Naib Presiden Pas fail saman terhadap kerajaan Malaysia, polis

Dua Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub kelmarin, memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Kerajaan Malaysia dan dua pegawai polis berhubung penahanan mereka ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Jalan Duta di sini, pada jam 10.30 pagi.

Dua pegawai polis turut dinamakan sebagai defendan, Inspektor Mohd Zaid Madzizat dan Ketua Polis Daerah Brickfields.

Sewaktu ditemui di lobi kompleks mahkamah, Mahfuz berkata, tuntutan dibuat melibatkan ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan daripada semua defendan berikutan tangkapan ke atas mereka didakwa menjatuhkan imej sebagai wakil rakyat

Kata mereka, tangkapan di KL Sentral salah kerana ia bukan tempat larangan.

”Kami tidak pernah lakukan apa-apa kesalahan,. Juga tidak dinyatakan mengapa kami ditahan dan polis juga tidak ambil keterangan kami sepanjang ditahan di Balai Polis Jinjang,” kata mereka.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, tindakan pihak menahan mereka berdua memalukan.

“Tangkapan ini memberi gambaran salah terhadap kami. Oleh itu, kami menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

“Selain itu, kami juga mahu faedah pada kadar lapan peratus setahun ke atas jumlah penghakiman dari tarikh writ saman sehingga penyelesaian penuh, kos dan lain-lain relif atau perintah difikirkan perlu oleh mahkamah,” katanya.

Mahfuz berkata, jumlah saman akan dibincangkan dengan peguam mereka, Zulhazmi Shariff dan kemungkinan tidak kurang daripada RM1 juta.

Dalam writ yang dikemukakan, pada 9 Julai lalu, kira-kira jam 11.50 pagi, ketika dalam perjalanan ke Hotel Hilton melalui KL Sentral, Mahfuz dan Salahuddin ditahan pegawai polis iaitu defendan terlibat bersama anggota polis lain tanpa sebarang alasan. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.