Header Ads

Hugo Chavez dakwa sudah pulih selepas kimoterapi kedua

CARACAS: Presiden Venezuela Hugo Chavez berkata di sini pada Ahad bahawa dia kini merasakan sudah pulih selepas melalui fasa kedua kimoterapi untuk penyakit kansernya.


Presiden Venezuela Hugo Chavez (kiri) dan Naib Presiden Elias Jaua tiba di lapangan terbang Simon Bolivar di Maiquietia luar Caracas, Venezuela selepas selesai rawatan fasa keduanya pada Aug 14, 2011. | foto Xinhua
“Rawatan saya berjalan dengan baik dan segala-galanya akan berakhir dengan baik,” kata Chavez dalam temu bual melalui telefon dengan rangkaian televisyen Venezuela.

“Keadaan saya lebih terjejas pada sesi pertama terapi berbanding dengan yang kedua,” kata Chavez sambil menambah bahawa beliau kini mempunyai selera makan yang baik.

Presiden berusia 57 tahun itu berkata beliau kini telah pulih dan sudah melalui peringkat baru dalam hidupnya.

Chavez berkata beliau tidak pasti sama ada dia perlu rawatan fasa ketiga, yang katanya bergantung kepada keputusan kemajuan rawatan minggu ini.

Presiden Venezuela itu menjalani pembedahan di Cuba untuk membuang ketumbuhan pada ususnya pada bulan Jun dan mendapat rawatan fasa pertama kemoterapi pada pertengahan bulan Julai.

Chavez kembali dari Havana Sabtu selepas rawatan kimoterapi dan bertemu dengan Menteri Luar, Nicolas Maduro dan Naib Presiden Elias Jaua di istana presiden Miraflores.
Dikuasakan oleh Blogger.