Header Ads

Isu larangan pembesar suara: Mufti tempelak Zahid Hamidi

WarkahDaily – Kelmarin, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad (gambar) telah menegaskan isu larangan penggunaan pembesar suara untuk bacaan Al-Quran di masjid dan surau di Pulau Pinang bukanlah perkara yang harus dijadikan isu politik kerana ianya merupakan arahan nabi.

Kenyataan itu secara tidak langsung menempelak beberapa pemimpin Umno-BN yang memperlihatkan kejahilan mereka dalam perkara agama termasuk Naib Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Sebelum ini Zahid Hamidi menyatakan dirinya berasa kesal atas larangan itu kerana tidak sensitif dengan umat Islam dan berkata keputusan larangan itu dilakukan secara melulu.

Zahid dilihat cuba mengambil kesempatan menangguk di air keruh untuk mendapat keuntungan politik untuk membidaskan kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang dipimpin DAP konon tidak sensitif dengan masyarakat Islam.

Dengan kata lain, nak tarik sokongan Melayu yang beragama Islam, konon Umno begitu prihatin dengan kesucian agama Islam walaupun dalam masa yang sama banyak melakukan penghinaan terhadap Islam termasuk isteri pemimpin tidak menutup aurat, meluluskan pengeluaran arak, menghalalkan pergaulan bebas, memberi laluan mudah kepada pengusaha judi terbesar Asian Tenggara untuk beroperasi.

Dalam kenyataan kelmarin, mufti Pulau Pinang menyebut, larangan terhadap masjid atau surau di negeri itu menggunakan pembesar suara untuk bacaan al-Quran sebelum subuh adalah berlandaskan hukum syarak dengan nas-nas yang sahih.

Oleh itu katanya, tidak timbul isu kononnya larangan itu akan diperluaskan untuk melarang penggunaan pembesar suara untuk azan kerana larangan itu bukanlah satu fatwa.

“Saya kesal atas kenyataan yang tidak profesional dan tidak berhemah daripada beberapa pihak termasuk menuduh kononnya Jawatankuasa Fatwa Negeri membuat keputusan secara melulu.

“Hal ini bukan isu politik tetapi ia arahan Nabi Muhammad s.a.w dan juga menjaga Islam yang harmoni,” katanya dipetik Bernama.

Hassan berkata larangan penggunaan pembesar suara itu adalah nasihat hukum, iaitu satu panduan tanpa mewartakannya dalam Enakmen Agama Islam negeri.

Katanya, banyak pihak termasuk media massa telah menyalahtafsir arahan itu kerana tidak faham perbezaan antara nasihat hukum dan fatwa sehingga mengheret Majlis Fatwa Kebangsaan untuk turut terkeliru.

Hassan berkata, untuk mengeluarkan sesuatu fatwa, Majlis Fatwa Negeri perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 45 Enakmen Agama Islam Pulau Pinang 2004 tetapi dalam mengeluarkan arahan nasihat hukum, ianya tidak memerlukan perkenan Seri Paduka baginda.
Dikuasakan oleh Blogger.