Header Ads

Kebebasan tertutup rapat dalam Umno - Bekas Menteri BN

WarkahDaily – Bukan orang lain pun cakap Umno bukan lagi parti bebas dan telus tapi bekas pemimpin Umno sendiri yang membuat ‘pengiktirafan’ itu. Kalau pemimpin Pakatan Rakyat (PR) kata, mungkin blogger dan barua Umno akan kata itu tuduhan melulu PR terhadap musuh politik mereka. Tapi kini ianya bukan dari PR tetapi dari bekas menteri Umno-BN, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Dalam satu laporan media, Abdul Kadir (gambar) mendakwa beliau begitu kesal kerana Umno kini sudah tidak lagi bebas seperti mana apa yang dipraktikkan oleh pemimpin terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Abdul Razak.

Umno sekarang tidak lagi menyediakan ruang untuk berbeza pendapat antara mereka.

Dipetik dari The Malaysian Insider, bekas menteri dan juga ahli Majlis Tertinggi Umno itu memberitahu, beliau turut bimbang dengan budaya politik semasa dalam Umno sambil menegaskan, ia sangat berlawanan dengan apa yang cuba diterapkan oleh Datuk Seri Najib Razak yang merupakan Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Ketika era Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein Onn, banyak kebebasan untuk menyuarakan pandangan, ruang untuk perbezaan pendapat dan debat terbuka dibenarkan, jelas Abdul Kadir.

“Tetapi sekarang anda tidak ada persekitaran sedemikian,” kata Abdul Kadir sebagai menyokong tindakannya menyertai Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) yang diketuai Tengku Razaleigh (Ku Li).

Pandangan bekas menteri pelancongan itu merujuk kepada kritikan sesetengah pihak ke atas ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah yang melahirkan pendiriannya mengenai cara pentadbiran Najib mengendalikan isu perhimpunan BERSIH 2.0.

“Ia hanya satu komen, tidak bermakna beliau telah bertindak bertentangan dengan parti atau kerajaan tetapi kini ada gesaan agar beliau (Saifuddin) dipecat dari Umno,” kata Abdul Kadir.

“Ini tidak berlaku pada masa-masa lalu,” katanya lagi.

Abdul Kadir turut membuat perbandingan kepimpinan Umno sekarang dengan masa lampau berkaitan dengan isu bekas Ketua Pemuda Umno dan bekas MB Selangor, Datuk Harun Idris untuk mengetengahkan pandangan beliau.

“Kebanyakan daripada kami dalam Pemuda Umno tidak bersetuju apabila Datuk Harun dikenakan tuduhan rasuah.

“Kami menjadi saksi tentangan (menentang) ke atas kerajaan ketika itu. Kami berkempen bagi Datuk Harun di seluruh negara... tetapi tiada tindakan diambil ke atas kami, meskipun ada perbezaan pendapat,” jelas Abdul Kadir.

“Itu bukan bermakna kami bertindak menentang BN ataupun kerajaan, ia hanya perbezaan pendapat,” kata Kadir.
Dikuasakan oleh Blogger.