Header Ads

Kejohanan Dunia BWF 2011: Chong Wei kempunan rangkul kejuaraan

Wakil negara Lee Chong Wei gagal untuk memenangi gelaran perseorangan lelaki pada Kejohanan Dunia BWF 2011 selepas kalah dalam perlawanan akhir kepada Lin Dan dari China di Arena Wembley, England, pada Ahad, 14 Ogos.


Dari kiri, Peter Gade dari Denmark (gangsa) dan Chen Jin dari China (gangsa), juara dunia Lin Dan dari China (emas) dan Lee Chong Wei dari Malaysia (perak) di podium bersama medal masing-masing dalam kategori perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Dunia di Arena Wembley pada Ahad 14 Ogos 2011.
Walaupun berjaya memiliki kelebihan set pertama dan hanya satu mata lagi untuk merangkul kejuaraan tapi kelebihan mental Lin Dan memastikan Chong Wei berputih mata setelah tewas dengan keputusan 20-22 21-14 23-21.

Chong Wei dilihat lebih mengawal permainan dan berjaya menguasai beberapa siri rali di antara beliau dan Lin Dan. Tetapi Lin Dan membuktikan kehebatannya di pentas ulung dunia apabila kekal tenang walaupun lambat panas dan sering ketinggalan mata.

Set pertama melihat Chong Wei di hadapan namun Lin Dan tetap berjaya memastikan jarak mata tidak begitu jauh. Tapi Chong Wei yang sebelum berada di kemuncak prestasi mudah menamatkan saingan set pertama dengan serangan demi serangan ke atas Lin Dan.

Di set kedua Lin Dan sudah mula menemui rentak manakala giliran Chong Wei pula yang ketinggalan dan kelihatan sedikit perlahan. Pemain China itu mengutip mata demi mata yang mudah untuk menjarakkan diri sebelum memastikan perlawanan berlanjutan ke set penentuan.

Keadaan semakin tegang di set ketiga dengan kedua-dua pemain saling bertukar-tukar servis dan mata dan apabila Chong Wei gagal menamatkan perlawanan ketika mendahului 21-19, Lin Dan bijak memastikan aksi terus ke mata penentuan.

Akhirnya smash terakhir Chong Wei yang tersangkut di jaring memberikan Lin Dan gelaran dunia keempat bagi dirinya dan menyebabkan Chong Wei sekali lagi gagal mengatasi seterunya itu di kancah terhebat dunia.

Pujian bagaimanapun harus diberikan kepada Chong Wei yang bermula sebagai pilihan utama kejohanan dan aksinya di sepanjang laluan ke final memang benar-benar memberikan harapan kepada negara namun masih ada harapan baginya untuk membalas dendam tahun depan di Sukan Olimpik.
Dikuasakan oleh Blogger.