Header Ads

MIC mula membuat desakan dalam BN

WarkahDaily – MIC mula mencaturkan pendirian mereka dalam Barisan Nasional (BN) menjelang pilihanraya umum (PRU) ke – 13.

Parti komponen BN yang mewakili kaum India itu menyatakan dua pendirian tegas mereka kelmarin iaitu mahu mempertahankan kerusi hak milik mereka daripada dirampas parti komponen lain dan tidak menerima keputusan mengiktiraf parti kaum India kedua dalam BN.

Dua desakan itu dibuat selepas melihat MIC semakin terpinggir dalam BN dan mula dianak tirikan dalam perikatan itu.

Presidennya, Datuk G. Palanivel (gambar) berkata, MIC sudi berbincang dengan parti lain mengenai pertukaran kerusi tetapi bukan pengurangan kerusi untuk parti itu.

“Kita akan terus mempertahankan sembilan kerusi Parlimen serta semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedia ada,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Agung MIC di Putrajaya.

Selepas PRU ke-12, komponen lain dalam BN mula memperlekeh MIC, lebih-lebih lagi Umno kerana MIC kalah teruk dalam pilihanraya berkenaan. Ramai kaum India mula beralih arah kepada Pakatan Rakyat (PR).

Sebelum ini dalam pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor, Umno pernah mendesak agar MIC menyerah kembali kerusi parlimen berkenaan kepada mereka. Namun ia ditentang habis-habisan oleh MIC.

Keadaan itu menyebabkan Umno mula mencari alternatif lain bagi menarik kembali sokongan kaum India kepada BN. Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mula memberi perhatian kepada parti-parti serpihan kaum India dan ini menyebabkan MIC mula kepanasan.

MIC sudah mula merasakan mereka akan dipinggir jika tiada tindakan drastik untuk memulih kedudukan MIC dalam BN.

MIC cuba mengugut keluar dari BN jika keadaan itu tidak diambil perhatian serius dari BN.

Kelmarin dilaporkan Bernama, MIC cuba menahan parti serpihan kaum India dari menjadi parti komponen dalam BN. Jika ini berlaku, MIC dikatakan akan keluar dari BN.

Parti serpihan kaum India hanya layak untuk jadi ahli gabungan atau bersekutu dengan BN dan bukan komponen seperti MIC, tegas Presiden MIC, Datuk G. Palanivel.

“Tetapi sebagai parti utama mewakili masyarakat India, kami tidak benarkan keahlian penuh dalam BN dan sekiranya berlaku, kami akan keluar,” katanya pada sidang media selepas menutup Perhimpunan Agung MIC ke-65 di Putrajaya kelmarin.

Tetapi, jika Umno dan MCA boleh terima parti kedua kaum yang diwakili mereka menyertai BN, MIC boleh terima, kata Palanivel.

“UMNO dan MCA sendiri tidak membenarkan parti Melayu dan Cina yang lain dalam Majlis Tertinggi BN. Kalau UMNO membenarkan pintu ini dibuka, maka kita juga tiada masalah,” tegas Palanivel.

MIC dilihat terpaksa membuat ugutan itu demi menjamin kesinambungan parti mewakili kaum India itu daripada terus terkubur selepas PRU-13 nanti.

Umno mula sedar, MIC menjadi liabiliti besar terhadap BN dan mereka mahu menyahkan MIC dari BN pada asalnya namun gertakan presiden MIC, Datuk G. Palanivel telah melemah Najib yang dilihat begitu mudah dipermainkan sehingga terpaksa menurut apa sahaja yang dipinta MIC kerana mahu terus mendapat sokongan beberapa kerat kaum India yang masih lagi setia dengan MIC.
Dikuasakan oleh Blogger.