Header Ads

Pemuda PAS pertahan Jais dan Hasan Ali, dakwa ada bukti murtadkan Muslim

Dewan Pemuda PAS pusat mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Datuk Dr Hasan Ali berhubung kontroversi serbuan ke atas sebuah gereja minggu lalu sambil menyifatkan terdapat ‘bukti’ adanya usaha mahu memurtadkan umat Islam.

Ketuanya Nasrudin Hassan (gambar) berkata, pendirian itu diambil setelah mendapatkan penjelasan daripada Hasan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor di Shah Alam petang semalam.

Jelas beliau, Jais melakukan serbuan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya dengan berlandaskan kepada prinsip dan tanggungjawab agensi penguatkuasaan itu untuk mempertahankan akidah umat Islam serta kesucian agama tersebut.

“Kami berpuas hati dengan penjelasan yang diberi Datuk Hasan. Tindakan Jais juga kami sokong dan wajar memandangkan pendekatan yang diambil adalah untuk mempertahankan Islam dan wajar disokong oleh semua pihak agar tidak timbul sebarang keraguan.

“Jais ambil kesempatan dalam setiap tindakan dan penguatkuasaan iaitu menepati kaedah atau prosedur untuk difahami dan patuhi segala peraturan yang ada,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tambah Nasrudin, dalam pertemuan kira-kira sejam itu Hasan juga memberitahu Jais mempunyai bukti kukuh untuk mengambil tindakan ke atas gereja itu.

“Beliau (Hasan) menyebut Jais ada asas yang kukuh untuk memeriksa gereja dan (mempunyai) bukti kukuh untuk (mengambil) tindakan itu,” katanya.

Justeru beliau meminta semua pihak agar enyokong tindakan itu Jais agar tidak timbul sebarang keraguan.

Dalam serbuan itu kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis gereja tanpa waran kira-kira 10 malam, Rabu lalu.

Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum

Dalam serbuan itu, Jais dilaporkan telah memeriksa 12 individu beragama Islam yang turut hadir dalam program anjuran Harapan Komuniti.

Tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.

Hasan mempertahankan tindakan Jais atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam.

Ahad lalu, Hasan telah memberi penjelasan dalam mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat berhubung serbuan dan dakwaan yang dibuat.

PAS mengambil pendirian untuk mengadakan pertemuan dengan Jais dan Gereja Methodist Damansara Utama untuk mendapatkan penjelasan sebelum membuat sebarang keputusan lanjut. –The Malaysian Insider
Dikuasakan oleh Blogger.