Header Ads

Serbuan JAIS: Bukti telah dijumpai, yang marah dengan Hasan Ali jangan gopoh sangat

WarkahDaily – Laporan Free Malaysia Today (FMT) Isnin lepas menyebut bahawa bukti dakwaan mengaitkan kegiatan penyebaran agama bukan Islam kepada penganut agama Islam di sebalik kontroversi yang membabitkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya minggu lalu telah pun dijumpai.

Menurut FMT, bukti itu telah didedahkan Pengerusi Sahabat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Dzulkhaini Husain yang mendakwa kepingan-kepingan kertas soalan itu ditemui dalam sebuah tong sampah.

Bukti berbentuk tentatif program serta kertas soalan bersifat ‘menguji pengetahuan’ dalam bahasa Malaysia dan Inggeris yang turut diterima FMT itu telah menjelaskan keadaan sebenar apa yang berlaki di majlis makan malam tersebut.

Bukti berkaitan dengan Islam

Dipetik dari FMT, Soalan yang tertera adalah menjurus kepada fahaman agama Islam secara keseluruhannya seperti membabitkan; Nabi Muhammad, Al- Quran, rukun Islam, kitab, solat dan lain-lain.

Kertas dua halaman yang mengandungi 12 soalan itu didakwa diberikan kepada para peserta yang menyertai majlis makan malam tersebut yang turut disertai oleh penganut agama Islam.

Baca seterusnya di sini.

Yang berdendam dengan Hasan Ali, jangan gopoh sangat

Bukan ingin membela sesiapa tetapi mahu kita sama-sama bertindak di atas kewarasan dan ketepatan berita. Pemimpin PAS dilihat lebih matang kerana tidak menuding jari dahulu ke mana-mana pihak dalam isu ini, bahkan lebih bijak untuk tidak mempercayai isu itu bulat-bulat dari sebelah pihak semata-mata. PAS berusaha untuk bertemu dengan kedua-dua pihak bagi menyelesaikan isu itu demi keadilan kedua-dua pihak. Bukan atas dasar emosi semata-mata.

Bila nama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor di Shah Alam, Datuk Dr Hasan Ali menjadi watak utama dalam isu serbu gereja itu, penulis WarkahDaily Online (WDO) melihat ada beberapa blogger pro-Pakatan Rakyat telah mengambil tempat untuk ‘melariskan’ blog mereka dengan membuat pelbagai andaian cerita dan tanggapan yang berbentuk marahkan tindakan Hasan Ali konon tak cerdik dan menyusahkan PR.

Tak kurang juga, masih ada lagi yang berfikiran kolot dan guna modal lama, konon Hasan menari ikut rentak Umno dalam hal itu. Tanpa mempedulikan akan hal sebenar, masing-masing sibuk dengan ulasan tak beretika mengalahkan Utusan Malaysia yang dituduh selama ini melaporkan berita tanpa bukti kukuh dan sebagainya.

Dari pemerhatian penulis WDO, keadaan semakin memburuk apabila blogger suka menelah atau membuat andaian sendiri tanpa menyelidik dahulu berita sebenar. Serangan terhadap Hasan Ali mula meneroboh alam maya, kumpulan anti Hasan Ali selama ini sudah sejuk kembali segar semula, bangkit dari lamunan tidur dan turut bermain rentak ‘dendam’ lama terhadap Hasan Ali.

Perbalahan dalaman ini turut diintai blogger Umno untuk mencucuk jarum adu-domba agar Hasan Ali semakin diserang bertubi-tubi dan menggambarkan Hasan Ali adalah suara Umno, sehingga Zulkifli Noordin yang jaguh batu api pun turut serta cucuk jarum, padahal itu semua permainan yang membolehkan barua Umno melompat keriangan mengambil kesempatan dan menangguk di air keruh untuk memecah-belahkan pemimpin dalam PR.

Kita perlu sedar, Selangor kini menjadi tumpuan utama Umno untuk merampas negeri kaya itu dalam pilihanraya umum nanti. Semua keadaan dan hal boleh jadi dan semua watak boleh dicipta untuk mengancurkan PR Selangor.

Apakah kita tak terfikir, dengan cara memisahkan beberapa pemimpin dalam PR dan cuba mencipta isu yang pada asalnya tidaklah seberapa, namun kerana blogger PR yang terlalu melatah, menyebabkan seolah-olah pemimpin PR ada yang pro-Umno. Maka permusuhan mulalah timbul, tuduh-menuduh menjadi-jadi. Ketika itu, para pengundi mula melihat telatah ini dan mungkin boleh memberi kesan dalam pilihanraya nanti

Jika difikirkan relevan, tindakan Hasan Ali menyokong pihak JAIS menyerbu gereja tempoh hari tidak sedikit pun menggambarkan terikut-ikut gaya Umno. Sejak bila Umno suka dengan perkembangan Islam di negara ini? Sejak bila Umno mahukan isu murtad diambil perhatian? Sejak bila Umno halang berlakunya murtad? Umno hanya reti mengambil kesempatan menangguk di air keruh menyerang PR dengan isu perkauman dan agama.

Langkah penganut Islam lari ketika serbuan dibuat pun telah memberi kita satu persoalan, kenapa nak lari jika tak lakukan kesalahan. Cuma kita boleh pertikai cara serbuan itu dibuat. Bahkan, dikhabarkan serbuan itu dibuat selepas ada perbincangan kedua-dua belah pihak.

Jadi, apa yang kamu (blogger PR) nak marah sangat dengan Hasan Ali? Apakah kerana Hasan Ali menyokong JAIS yang selama ini dikatakan bersekongkol dengan Umno sehingga kita sanggup menidakkan bukti yang ada pihak tertentu mahu memurtadkan orang Islam?

Jangan berfikiran cetek kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakarnya. Kerana dendam terhadap Hasan Ali, usaha memurtadkan orang Islam kita tak ambil peduli bahkan lebih parah menuduh Hasan Ali bertindak secara melulu.

Apa salahnya, dengar dulu penerangan dari pelbagai pihak, atau dengan cara yang paling selamat, tunggu tuan punya badan bersuara dan menerangkan apa yang sebenar berlaku. Lepas itu, tulislah apa yang kamu rasa betul nak ditulis.

Pengamal media baru (Blogger) pun sama dengan pengamal media arus perdana, kena berpandukan etika ketika membuat ulasan terhadap mana-mana isu dan tidak berkepentingan untuk mana-mana pihak. Yang penting, kita memilih kebenaran untuk bersuara dan menulis.
Dikuasakan oleh Blogger.